KUALA TERENGGANU – Idea "gila" bekas jururawat jual lima jenis kek berkelas elit iaitu indulgence, chocolate moist, red velvet, chocolate snow cheese dan orange cheese leleh dengan harga hanya RM1 sepotong amat berbaloi.
Malah produk berjenama Kek Sriya by Dhia’s Homemade yang dijual di rumahnya itu mendapat sambutan luar biasa sehingga mampu meraih pendapatan RM1,500 sehari.
Nadia Hazwani Harizan, 26, dari Kampung Kuala Ibai berkata, pada awalnya, dia sekadar suka-suka berniaga sambil beramal tetapi langsung tidak menyangka bidang itu mencetuskan fenomena apabila rumahnya sering dipenuhi pelanggan seawal jam 11 pagi hingga 6 petang.
Nadia Hazwani menunjukkan sepotong kek indulgence yang dijual dengan harga RM1. |
“Mulanya saya menjual dengan harga RM5 sepotong termasuk perkhidmatan penghantaran ke rumah dan mendapat sambutan, namun lama kelamaan sambutan semakin hambar berikutan ekonomi yang tidak menentu sekarang.
“Tetapi kerana minat yang mendalam terhadap kegiatan membuat kek, saya tidak berputus asa dan meneruskan kegiatan ini tetapi dengan menawarkan harga murah iaitu RM1 sepotong.
“Pada mulanya bimbang juga mengalami kerugian namun saya cekalkan hati dengan niat berniaga sambil beramal sambil dibantu suami, Mohd. Affandi Mohd Azaha, 30.
“Hari pertama kami hanya mampu meraih RM192 sehari sebelum jualan kek seriyal (RM1) itu diviralkan di Facebook menyebabkan pelanggan semakin meningkat.
“Selepas enam hari beroperasi, jualan kami mencapai RM1,500 sehari, sekali gus menyebabkan ahli keluarga termasuk ibu, ayah dan adik-beradik turut sama membantu untuk menyediakan kek untuk dijual,” katanya.
Nadia berkata, dia tidak pernah mengikuti kursus atau mempelajari pembuatan kek secara formal dan hanya mempelajari pelbagai resipi melalui Internet dan perkongsian resipi melalui laman sosial.
Sumber: myMetro