5 Suspek Ditahan Lepas Cuba Samun Kedai Di Taman Ria


SUNGAI PETANI - Tindakan sekumpulan lelaki yang cuba melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Waja sejauh 20 Kilometer berjaya dipatahkan anggota kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Muda, pagi semalam.

Kumpulan yang terdiri daripada lima lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun tersebut dipercayai melakukan cubaan samun di sebuah kedai terletak di Taman Ria, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, pihak polis menerima aduan daripada pusat kawalan daerah mengenai sebuah kereta berada di kawasan berkenaan dalam keadaan mencurigakan dan bergegas ke tempat kejadian pada jam 9 pagi.

Menurutnya, apabila suspek menyedari kehadiran pihak polis, mereka segera beredar dari kawasan berkenaan.

"Kenderaan MPV bertindak mengejar kenderaan suspek sehingga masuk ke sebuah jalan kampung di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)  Dato Bijaya Setia, dekat Batu Dua.

"Disebabkan jalan kampung itu terlalu sempit, kereta dipandu suspek telah terlanggar sebuah tiang elektrik di kawasan tersebut. Salah seorang suspek bertindak menyerang anggota MPV dengan sebilah parang bagi mengelakkan dirinya ditangkap," katanya, kepada pihak media, di sini, semalam.

Md Zukir berkata, akibat tindakan agresif itu, seorang anggota MPV terpaksa melepaskan tembakan ke arah betis kiri suspek berkenaan.

Katanya, suspek yang terkena tembakan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dengan bantuan ambulan bersama seorang lagi suspek yang cedera di bahagian hidung akibat perlanggaran berkenaan.

"Bagaimanapun, suspek kelima  ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi oleh kakitangan sebuah syarikat pegawal keselamatan di Taman Seri Angsana, di sini, sebelum diserahkan kepada anggota polis.

"Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan (serang penjawat awam), Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan pecah masuk bangunan,"katanya.

Sumber: Sinar Harian