SERDANG - Sekumpulan perompak melarikan lapan dulang barang kemas dalam satu rompakan di kedai menjual barang kemas di sebuah pasar raya di Puchong dekat sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata polis dimaklumkan mengenai insiden itu kira-kira pukul 11.10 pagi Sabtu.
Jelasnya, enam lelaki memakai topi keledar dan jaket hijau membawa bersama tukul besi semasa insiden di tingkat bawah pasar raya tersebut.
"Empat suspek masuk ke dalam kedai manakala seorang lagi berada di luar.
"Seorang lagi suspek menunggu di dalam sebuah kereta jenis Toyota Wish," katanya.
Perompak tersebut kemudiannya melarikan diri menggunakan kereta tersebut bersama barang kemas yang dirompak.
Aminuddin berkata jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata secara berkumpulan.
Sumber: mStar