AADK Terus Jalin Kerjasama Dengan Agensi Lain Perangi Dadah


ALOR SETAR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain dalam memerangi aktiviti penagihan dadah di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin berkata langkah yang diambil dilihat lebih berkesan dalam menjayakan kempen perangi dadah habis-habisan terutama di kawasan yang dikenal pasti kawasan hot spot.

“Langkah yang diambil perlu memandangkan setiap operasi turut melibatkan kawasan pantai, pekan, bandar, hutan dan melibatkan rakyat warga asing yang memerlukan fasiliti dan kemahiran yang dimiliki untuk membanteras aktiviti tersebut.

“Selain itu, gabungan ini dilihat mampu menyemarakkan ‘gelombang antidadah dalam kalangan rakyat untuk sama-sama membantu pihak berkuasa mengurangkan aktiviti ini yang melibatkan golongan remaja dan belia,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan ‘Ops Sarang’ di Kuala Kedah, di sini, malam semalam.

Dalam operasi tersebut 117 penagih termasuk 16 warganegara asing diberkas di sekitar pelantar nelayan dan kawasan penempatan di Kuala Kedah kerana terlibat dengan kegiatan tersebut.

Antara kampung terlibat ialah Kampung (Kg) Hulu, Kg Tok Pasai, Pelantar Siput dan Kg Tepi Laut yang melibatkan hampir seratus anggota daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela).

Daripada jumlah itu 62 positif dadah dan akan dibawa ke pusat rawatan dan pemulihan dadah di seluruh negara.

Sehubungan itu, AADK merancang pelbagai program melibatkan komuniti setempat untuk memastikan rakyat saling peka dan berhati-hati dengan gejala penagihan dadah.

“Kami juga meningkatkan program di peringkat komuniti seperti rondaan bersama AADK, ops cegah dan menjemput ikon antidadah untuk mengambil tanggungjawab memerangi aktiviti penagihan dadah di kawasan mereka,” katanya. – BERNAMA