Abang Allahyarham TG Dr Haron Din Meninggal Dunia


KUALA LUMPUR - Penceramah bebas, Ustaz Ishak Din, yang juga abang kepada bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr Haron Din, meninggal dunia ketika sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 5.41 petang Isnin.

Perkara itu disahkan adik Allahyarham, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz ketika dihubungi Bernama di sini.

Menurut Abu Hassan, keadaan kesihatan abangnya yang berusia 78 tahun itu semakin merosot selepas menjalani pembedahan jantung di pusat perubatan itu pada Jumaat lepas.

"Allahyarham tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan koma selepas selesai menjalani pembedahan jantung itu," katanya.

Beliau berkata jenazah akan dibawa pulang ke kediamannya di Taman Keramat di sini malam Isnin dan disolatkan di Masjid Al-Ansar Taman Keramat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat pagi Selasa. - BERNAMA