Abang Lelaki Dituduh Gila Seks Di UPSI Mahu Tahu Cerita Sebenar


Seorang lelaki yang bakal bergelar guru didakwa ‘gila seks’ selepas aktivitinya merakam gambar pelajar perempuan dalam tandas di sebuah universiti tempatan di Perak, terbongkar.

Lelaki yang sedang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu didakwa merakam gambar pelajar wanita di dalam tandas dan mengugut akan menyebarkan gambar mangsa sekiranya kejadian tersebut dilaporkan.

Pendedahan yang dibuat UPSI Gags menerusi akaun Facebook menjelaskan, kejadian jelik tersebut telah berlaku sejak tahun lalu apabila ada saksi yang tampil menceritakan insiden memalukan itu.

Dalam kejadian pertama berlaku di Kampus Lama, Tadahan Selatan, lelaki tersebut dilihat sedang memujuk mangsa yang sedang menangis selepas keluar dari tandas apabila gambarnya dirakam.

Bagaimanapun mangsa tidak membuat laporan selepas diugut gambarnya akan disebarkan sekiranya kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak universiti.

Gara-gara tiada laporan yang dibuat, lelaki tersebut terus melakukan aktiviti tidak bermoralnya ketika peperiksaan akhir semester pada tahun lalu.

“Suspek telah disergah oleh saksi di tandas wanita kerana sedang membongkok memegang telefon merakam pelajar yang sedang membuang air.

“Sewaktu itu saksi baru sahaja masuk ke dalam tandas dan kes dilaporkan kepada pengawas peperiksaan,” katanya.

Ketika latihan praktikal di sebuah sekolah menengah di Taiping, Perak, lelaki tersebut meneruskan aktivitinya dan kali ini melibatkan guru.

Susulan kejadian itu, dia digantung latihan praktikal dan diberikan khidmat kaunseling.

Namun, hukuman yang dikenakan tidak memberikan sebarang kesan kepada lelaki tersebut apabila dia meneruskan ‘aktivitinya’ merakam gambar dan kali ini melibatkan pelajar sekolah.

Dalam kejadian awal tahun ini, lelaki terbabit mengulangi latihan praktikalnya di sebuah sekolah menengah di Slim River, Perak dan ia menjadi kecoh apabila gambar pelajar bogel dirakam.

Difahamkan mangsa turut mengalami pelbagai peristiwa pelik seperti bangun tidur dalam keadaan separuh bogel dan ada melihat kelibat lelaki.

Tindakan berani lelaki ini akhirnya memakan diri apabila dia memecah masuk sebuah rumah di Taman Harmoni dan berjaya ditahan polis. Namun, kes tersebut digugurkan kerana tiada bukti kukuh.

Pelajar semester sembilan tahun ini sekali lagi ditangkap baru-baru ini di perpustakaan kerana merakam gambar pelajar perempuan di tandas.

“Admin ingat dia sudah dibuang pada semester 8 namun rupanya dia masih ada, maka ini masa yang sesuai untuk membuat pendedahan.

“Pendedahan ini bertujuan menyedarkan pentadbiran UPSI supaya mengambil tindakan serius terhadap kegilaan suspek terhadap seks sehingga mengusarkan pelajar wanita UPSI.

“Pihak UKLK tahu, Mantan TNC Hepa Dato Junaidy juga tahu, pihak fakulti suspek tersebut juga tahu, Ketua Jabatan juga tahu, Pihak Perpustakaan Tengku Bainun juga tahu.

“Dalam situasi kesemua pihak yang tahu ini, kenapa semua ambil sikap tidak mahu ambil tahu? Semak semula laporan pelajar dan laporan di Balai Polis Ulu Bernam jika sudah lupa,” katanya.

Menerusi ruangan komen, seorang netizen yang mengaku dirinya sebagai abang lelaki itu mahu berhubung dengan UPSI Gags mengenai pendedahan tersebut.

Menggunakan nama Addie Azahari, dia mahukan cerita sebenar terhadap pertuduhan yang dilontarkan kepada adiknya.

“Saya abang kandung… saya mau tahu cerita sebenar,” katanya.

UPSI Gags berharap pendedahan ini dapat perhatian pihak universiti dan ianya bertujuan untuk mempertahankan pelajar perempuan daripada menjadi mangsa. -Kedahnews.com