Afifah Awal-Awal Mengaku Sudah Ada Kekasih, Elak Difitnah


PETALING JAYA - Pelakon baharu iaitu Afifah Nasir yang juga adik kepada Anzalna Nasir menjelaskan dia bersikap terbuka berhubung statusnya yang sudah mempunyai teman lelaki kerana ingin mengelak fitnah.

Afifah atau Nur Afifah Md Nasir, 23, berkata, dia tidak perlu menyorokkan perkara tersebut kerana tiada motif tertentu untuk berbuat demikian dan lebih selesa bersikap jujur apabila ditanya berhubung perihal peribadi.

"Ia perkara benar jadi buat apa saya hendak sorok tambahan pula saya tidak mahu bersikap berdolak-dalik sehingga akhirnya menimbulkan fitnah.

"Pada saya itu lebih membimbangkan dan lebih baik saya berterus terang sahaja melainkan saya ada motif lain," katanya.

Afifah semakin dikenali sebagai pelakon.
Pun begitu kata Afifah, kejujurannya itu bukan bererti dia gemar menjaja kisah peribadinya sebaliknya hanya ingin bersikap jujur.

Katanya, dia tidak akan bercakap mengenai perihal peribadinya dengan terlalu terperinci kerana merasakan tiada keperluan untuk berbuat demikian tambahan pula dia tidak dapat meramalkan apa akan terjadi pada masa hadapan.

"Jika ada yang bertanya saya akan cuba menjawab dengan jujur tetapi tidaklah sehingga saya hendak menjaja kisah cinta.

"Cukup orang tahu saya ada teman lelaki selebihnya saya takut hendak bercerita kerana soal jodoh ini bukan ditangan saya.

Sementara itu, berkongsi sedikit mengenai lelaki yang berjaya mencuri hatinya, Afifah berkata, mereka sudah menjalinkan hubungan cinta sejak dua tahun lalu.

Menyifatkan buah hatinya itu sebagai memahami, Afifah menjelaskan lelaki berkenaan cukup menyokong kerjaya seninya walaupun sedar dia sentiasa terdedah kepada pelbagai tohmahan dan gosip.

"Saya mula berlakon selepas kami bercinta dan dia menyokong dengan keputusan untuk melibatkan diri dalam bidang seni.

"Setakat ini dia memahami keunikkan  kerjaya saya dan tidak pernah meletakkan sebarang syarat tertentu," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Afifah bakal muncul dengan drama bersiri, Pengantinku Jatuh Dari Langit yang menggandingkannya dengan Hafreez Adam.

Selain Afifah, drama 30 episod arahan Idora Abdul Rahman itu turut menampilkan Faye Kushairi, Azhar Sulaiman, Fahad Iman, Kismah Johar dan Azam Pitt.

Ia bakal bersiaran bermula 30 November ini pada setiap hari Rabu dan Khamis, 9 malam di HyppSensasi (HyppTV 116) dan HyppTV Everywhere (aplikasi mobil HyppTV).

Sumber: mStar