Air: Makhluk Senior Yang Sangat Berjasa


"USTAZ! Jika arasy adalah makhluk terawal dan terbesar, kemudian ayat ketujuh Surah Hud pula menyebut ia berada di atas air, maka bayangkan berapa banyak kuantiti air di seluruh alam semesta!”

Agak tergamam mendengar kenyataan murid saya itu. Ia timbul berikutan perbincangan panjang lebar tentang ayat itu.

Lagi tersembunyi lagi ia mendesak rasa ingin tahu. Itulah tabiat manusia yang menjadikan mereka aktif berfikir dan bertanya. Antara persoalan yang selalu bermain di benak manusia adalah, apakah makhluk terawal diciptakan Allah?”

Jika disusuri nas dan dalil, banyak makhluk yang disebut antara terawal dicipta Allah di alam semesta. Antaranya adalah qalam, arasy dan air. Nota kali ini akan berbicara tentang air sahaja semoga ia menjadikan kita lebih menghargainya:
“Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang arasynya, berada di atas air (Dia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) berkata: Bahawa kamu akan dibangkitkan hidup kembali sesudah mati tentulah orang-orang yang ingkar akan berkata: Ini tidak lain, hanyalah seperti sihir yang nyata (tipuannya),” (Hud [11:7]).
Arasy berada di atas air? Arasy adalah makhluk Allah yang terbesar. Ia di luar jangkauan pemikiran manusia. Orang beriman wajib beriman penuh tentang kewujudannya tanpa perlu berfikir atau menghayalkan rupa bentuknya. Namun apa yang menariknya air disebut bersama arasy sebelum Allah mencipta alam semesta.

Dalam ayat lain Allah menyebut ‘keawalan’ air seiring wujudnya alam semesta selepas berlaku letupan pertama dalam bahasa penciptaan alam:
“Tidakkah orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu kami pisahkan antara kedua-duanya? Dan kami jadikan daripada air, setiap benda yang hidup maka mengapa mereka tidak mahu beriman?” (al-anbiya’[21:30]).
Maha Suci Allah! Air disebut muncul seawal berlakunya letupan super pertama yang mewujudkan segala jisim dan makhluk di alam semesta. Ayat ini sebenarnya berbicara tentang teori ‘Big Bang’ yang mengandaikan alam semesta ini dahulunya satu, kemudiannya meletus mewujudkan berbagai entiti lain.

Sangat benar jika dikata air logik untuk muncul sebelum yang lain kerana Allah ‘meminjamkan’ air kuasa kehidupan. Di mana sahaja ada air akan wujud kehidupan. Bahkan para saintis yang mengkaji sumber kehidupan di planet lain pun akan mengesan kewujudan air terlebih dahulu.

Air juga membuka laluan untuk tamadun Islam berkembang. Contohnya, desakan berwuduk sebelum solat menjadikan umat Islam silam aktif mengembangkan teknologi air. Bahkan antara cara Rasulullah SAW memecahkan monopoli perniagaan air daripada tangan Yahudi Madinah adalah dengan program wakaf perigi rumah oleh Sayidina Uthman ibn Affan (Sunan al-Tirmizi).

Selepas ini jika mahu menggunakan air untuk keperluan kebersihan atau menghilangkan dahaga harian, hargailah kewujudannya. Insya-Allah kita akan lebih bersyukur kepada Allah dan tidak akan membazirkan sewenang-wenangnya makhluk Allah yang sangat senior dan berjasa ini.

Sumber: Utusan