Kia Fatt (kanan) melihat keadaan Muhammad Khairy Irfan yang semakin sembuh selepas menjalani pembedahan di luar negara pada 11 November lalu |
SUNGAI PETANI - Seorang bayi berusia 18 bulan yang menderita lebihan cecair di otak menyebabkan kepalanya membengkak telah selamat menjalani pembedahan di sebuah hospital pakar di Bangalore, India.
Muhammad Khairy Irfan Haniff menjalani pembedahan itu pada 11 November lalu dengan kos RM50,000 atas sumbangan Persatuan Kebajikan Chowchitmothor Pulau Pinang (berdaftar atas nama Per Keb Chowchitmothor PP) dan orang ramai.
Pengerusi Per Keb Chowchitmothor PP, Wong Kia Fatt berkata, pembedahan yang dibuat di India itu berjaya dan mengharap keadaan itu memberi harapan baharu buat Muhammad Khairy Irfan.
“Pembedahan berjaya seperti dirancang dan keadaan bayi itu juga stabil. Muhammad Khairy menunjukkan perkembangan memberangsangkan dan selepas ini dia akan menjalani beberapa rawatan susulan serta menjalani pembedahan pembedahan katarak atau selaput mata pada bulan depan.
“Pihak kami sentiasa memantau keperluannya seperti kos rawatan bayi ini dan keperluan yang lain dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, Ibu bapa bayi itu, Nor Hayati Hussain, 34, dan Khairil Fadzillah Abd Hamid, 38, meluahkan rasa gembira dengan perubahan anaknya itu dan berharap pembedahan terbabit sebagai permulaan baik untuk meneruskan rawatan Muhammad
Khairy Irfan supaya dapat membesar seperti kanak-kanak lain.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pasangan suami isteri merayu seluruh rakyat Malaysia membantu mencukupkan dana sasaran sebanyak RM85,000 sebelum mereka bertolak ke negara tersebut dalam tempoh dua hari sahaja lagi iaitu 9 November lalu.
Nor Hayati berkata, pendapatan mereka suami isteri yang berniaga makanan dan makan gaji tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu dalam tempoh singkat, sedangkan sudah membelanjakan ribuan ringgit bagi mengubati penyakit anak mereka.
“Dia hanya makan nasi yang dikisar halus dan minum susu khas jenama Pediasure untuk mendapatkan keperluan secukupnya.
“Kami juga sediakan kos ubatan mencecah RM200 hingga RM300 seminggu,” katanya.
Khairil Fadzillah dalam masa sama terharu dengan kehadiran Persatuan Kebajikan Chowchitmothor Pulau Pinang ke rumah mereka di Sungai Petani dan menyalurkan RM30,000 serta menguruskan pemeriksaan ke MediAssist 4 U sebelum dibedah.
Sumber: Sinar Harian