#BajetKedah2017: Defisit Kedah Berjaya Dikurangkan 4.63 Peratus


ALOR SETAR - Bajet 2017 bagi negeri Kedah berjaya mengurangkan defisit perbelanjaan sebanyak  RM75.5 juta berbanding anggaran kutipan hasil sebanyak RM734.7 juta,  4.63 peratus kepada 10.27 peratus berbanding tahun lalu.

Bajet 2016 tahun lalu yang mencatat defisit berjumlah  sebanyak RM107.8 juta, bersamaan dengan 14.9 peratus.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah yang membentangkan Bajet Kedah 2017 pagi ini mengumumkan belanjawan sebanyak RM1.06 bilion, mencakupi RM810.1 juta perbelanjaan mengurus dan RM256.4 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

"Ini berbeza dengan Bajet 2016 yang mencatatkan defisit sebanyak 14.9 peratus dengan jumlah RM107.8 juta. Bermakna untuk Bajet 2017, defisit telah berjaya dikurangkan sebanyak 4.63 peratus.

"Bagi menjadikan perbelanjaan pembangunan 2017 memenuhi sasaran terutama mengisi keperluan sebenar masyarakat B-40, maka sasaran perbelanjaan dijangka dapat dicapai sekurang-kurangnya 90 peratus daripada keseluruhan anggaran untuk 2017," katanya.

Ahmad Bashah pagi ini membentangkan Bajet Kedah 2017 bertemakan 'Muafakat Memacu Ekonomi, Menggilap Potensi Negeri', di Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) bertempat di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa Bajet Kedah 21017 yang dibentang merupakan belanjawan yang bersifat realistik demi meneruskan tradisi memastikan kebajikan dan kemakmuran rakyat di negeri ini sentiasa terjamin.

Bajet itu, katanya berpaksikan empat strategi utama iaitu meningkatkan perolehan dan perbelanjaan hasil secara cekap dan berhemah, menambah nilai selain meneroka potensi ekonomi baru.

Selain itu, bajet berkenaan juga mencerminkan usaha kerajaan negeri mencergaskan aktiviti ekonomi rakyat dan menangani isu kebajikan rakyat berbilang kaum melalui langkah-langkah yang tepat mengikut landasan yang praktikal. -Kedahnews.com