#BajetKedah2017: Kerajaan Negeri Fokus Selesai Masalah Bekalan Air Kedah


ALOR SETAR - Bagi menyelesaikan masalah dan menambahbaik khidmat bekalan air demi keselesaan rakyat negeri Kedah, kerajaan negeri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM188,020,461 dalam Bajet Kedah 2017.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, peruntukan tersebut adalah sekali ganda berbanding peruntukan yang dibentang dalam Bajet 2016 yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM92,730,761 pada tahun lalu.

"Kerajaan amat prihatin berhubung keperluan sumber air sebagai asas keselesaan hidup dan kegunaan industri strategik yang mampu meransang ekonomi.

"Rungutan pengguna ditangani. Siapsaga Task Force dengan enam langkah praktikal diberi tumpuan agar isu bekalan dan agihan air diminimakan.

"Untuk maksud berkenaan, sebanyak RM 188,020,461 diperuntukkan bagi tahun 2017 berbanding tahun 2016 sebanyak RM 92,730,761," katanya ketika membentang Bajet Kedah 2017 di sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, di sini, pagi ini.

Beliau turut memberikan fokus terhadap projek penambahbaikan Loji Bekalan Air Pokok Sena bagi kesejahteraan rakyat di sekitar kawasan tersebut yang direalisasikan melalui pinjaman kewangan dari Kerajaan Persekutuan.

"Dalam tempoh jangka panjang apabila program transformasi bekalan air disiapkan terutama dengan siapnya Loji Bekalan Air Pokok Sena, maka masalah yang dihadapi pengguna mampu diuruskan.

"Bagi membuktikan kesungguhan kerajaan merungkai isu bekalan air, peruntukan melebihi sekali ganda melalui pinjaman Kerajaan Persekutuan disediakan," jelasnya.

Selain itu, turut diberi tumpuan adalah projek-projek yang melibatkan projek Bekalan Air Sik, projek Naiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Kulim High Tech, projek Bekalan Air Pokok Sena dan Bekalan Air Pelubang.

Projek Menambah Keupayaan LRA Jenun Baru, projek Naiktaraf Loji Rawatan Air Bukit Selambau, Sungai Limau, Bandar Baharu dan pembangunan Bekalan Air Langkawi turut diberi perhatian khusus dalam peruntukan tersebut.

Ahmad Bashah hari ini membentang Bajet Kedah 2017 bertemakan 'Muafakat Memacu Ekonomi, Menggilap Potensi Negeri', melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.06 bilion, mencakupi RM810.1 juta perbelanjaan mengurus dan RM256.4 juta bagi perbelanjaan pembangunan. -Kedahnews.com