Bangladesh Akan Hantar Pulang Pelarian Rohingya Ke Myanmar


TEKNAF – Polis Bangladesh menahan berpuluh-puluh pendatang Rohingya, pada Rabu termasuk sejumlah kanak-kanak dan memaklumkan mereka akan dihantar pulang ke Myanmar walaupun terdapat laporan bahawa tentera negara itu membakar perkampungan dan merogol wanita.

Beberapa pemimpin komuniti Rohingya berkata, semakin ramai etnik Rohingya lari ke Bangladesh dan difahamkan 500 orang tiba malam tadi untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 30,000 kumpulan minoriti Muslim itu terpaksa melarikan diri dari rumah mereka dan ia menggesa Bangladesh supaya membuka sempadan.

Lebih 2,000 pelarian Rohingya merentasi sempadan, sejak beberapa hari lalu susulan lonjakan keganasan di Myanmar.

Ramai mangsa memaklumkan kampung mereka dimusnahkan tentera dengan ada yang mendakwa dirogol atau terbunuh.

Semalam, polis di bandar sempadan Bangladesh, Cox’s Bazar berkata, mereka menahan 70 warga Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak. Katanya, mereka akan dihantar pulang di sempadan.

“Kami menahan mereka selepas menceroboh secara haram ke Bangladesh.

“Mereka akan dihantar pulang ke Myanmar,” kata ketua polis tempatan, Kumar Nath. – AFP