Kira-Kira 3,800 banduan terpaksa bergelut untuk mendapatkan ruang, minuman dan makanan di penjara terkenal di Quezon City, Manila.
Keadaan dalam penjara itu begitu sesak kerana ia dibina hanya untuk menempatkan 800 orang.
Dengan 150 hingga 200 tahanan ditempatkan dalam sebuah sel yang disediakan untuk 20 orang, banduan berkenaan terpaksa bergilir-gilir untuk tidur di atas lantai gelanggang bola keranjang, tangga, bawah katil atau buaian yang dibuat daripada selimut buruk.
Seorang bekas banduan baru-baru ini kembali ke penjara itu selepas menamatkan pengajian dalam bidang keadilan jenayah di Universiti Southern Illinois, Amerika Syarikat.
Menurut Raymund Narag, dia berusia 20 tahun apabila dituduh melakukan jenayah yang dia tidak lakukan - membunuh seorang lelaki di Manila.
Dalam bukunya, ‘Freedom and Death Inside the Jail’ (Kebebasan dan Kematian Dalam Penjara), Narag menceritakan secara terperinci keadaan yang terpaksa dilalui banduan di penjara itu.
“Selama hampir tujuh tahun saya menjalani pengalaman kematian setiap saat dalam penjara itu.
“Tahanan dipaksa tidur di atas lantai lembap di ruang yang boleh mereka temui. Jika tidak, mereka akan tidur dalam keadaan mencangkung. Kesesakan dalam penjara itu menyebabkan sebahagian banduan diserang angin ahmar,” katanya.
Menurutnya, makanan yang disediakan terlalu sedikit. Lebih buruk lagi, ada banduan yang berpendapat ia hanya sesuai untuk dimakan oleh babi.
“Makanan itu juga sering kali mengandungi paku berkarat dan kadang kala lipas. Ini memaksa tahanan sanggup berlapar atau mencuri makanan banduan lain,” katanya.
Narag berkata, setiap bulan, antara dua atau lima tahanan mati di penjara di Quezon City itu kerana sakit.
“Mereka mudah dijangkiti. Apa tidaknya, keadaan dalam penjara itu amat teruk. Mereka tidur bersesak-sesak. Pengudaraan dalam bilik kurungan pula tidak sempurna. Bekalan air minuman terhad. Makanan yang disediakan tidak cukup zat. Tahanan yang sakit dan sihat dikumpulkan dalam bilik kurungan yang sama,” katanya.
Kerana terlalu bosan, ramai juga banduan yang tertekan dan menghadapi masalah mental pula. -Agensi