Bekalan Minyak Masak Di Kedah Mencukupi - KPDNKK

Mohamed Aznanshah (dua, kanan) memeriksa dokumen dan bekalan minyak masak dalam pek yang terdapat di sebuah gudang di Pokok Sena
POKOK SENA – Bekalan minyak masak sama ada dalam pek atau botol di Kedah masih mencukupi walaupun menerima permintaan yang begitu tinggi daripada pengguna di kawasan bandar dan luar bandar sejak kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, pihaknya amat serius menangani isu tersebut dan akan membuat pemeriksaan setiap hari.

 “Sejak 26 Oktober lalu, kita dah buat pemeriksaan di 1,400 premis di seluruh Kedah. Ini termasuk premis-premis di bandar dan luar bandar yang merangkumi premis 'repacker', pemborong, hypermarket, supermarket, peruncit dan pihak industri.

 “Kita juga telah melantik 48 peruncit terpilih di seluruh daerah di negeri ini dan kemungkinan jumlahnya akan bertambah dari masa ke semasa sebagai orang tengah sekiranya berlaku masalah di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan pemeriksaan di sebuah gudang penyimpanan bekalan minyak masak di Batu 19, Kampung Bukit, Jalan Naka, di sini, kelmarin.

Melalui kaedah itu katanya, ia dapat membantu pihak KPDNKK memantau semua kawasan di Kedah khusus dalam menangani isu kekurangan bekalan minyak masak.

"Kita akan pastikan juga peruncit terpilih ini sentiasa ada bekalan minyak masak untuk memudahkan pengguna. Setakat ini kita terima lapan aduan melalui telefon dan media sosial, kebanyakannya berkaitan ketiadaan bekalan minyak masak di kedai-kedai.

“Memang tidak dinafikan dalam siasatan kita ada kedai yang tidak ada bekalan minyak masak, misalnya daripada tujuh kedai, hanya lima kedai yang ada bekalan. Bermaksud bekalan itu masih ada, cuma beberapa kedai sahaja yang tiada,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan juga mendapati tidak berlaku masalah daripada pihak pembekal kerana mereka menghantar bekalan seminggu sekali dan isu itu dipercayai berlaku akibat pembelian panik daripada pengguna.

“Saya minta para pengguna jangan panik dalam membeli minyak masak, beli seperti biasa dan ikut keperluan. Kerajaan bagi jaminan bekalan minyak masak tidak kurang, hasil pemeriksaan kita memang bekalan sampai kepada 'repacker' dan pemborong adalah sama, tiada masalah.

“Secara amnya, keadaan minyak masak di Kedah adalah terkawal dan harga yang kita dapati juga masih lagi mengikut harga yang ditetapkan iaitu RM2.50 bagi setiap pek,” katanya.

Setakat ini, KPDNKK Kedah berjaya mengesan dua kes iaitu satu di Alor Setar dan satu lagi di Langkawi bersabit kesalahan menyimpan bekalan minyak masak tanpa kebenaran dan menyorok bekalan.

"Saya sarankan kepada pihak industri kalau mereka nak menyimpan minyak, pastikan mereka mempunyai permit untuk kebenaran daripada pihak KPDNKK.

"Siasatan kita juga akan menjurus kepada pihak pembekal apabila mereka kena pastikan hanya membekalkan kepada orang-orang yang layak iaitu mereka yang mempunyai lesen atau diberi permit untuk menyimpan bekalan minyak masak.

“Nilai rampasan bagi kedua-dua kes berkenaan adalah RM2,500 dan berat rampasan ialah 985 kilogram. Kedua-dua kes ini masih dalam siasatan dan kita akan buat pertuduhan di mahkamah,” katanya.

Sumber: Sinar Harian