Berakhlak Baik Atau Jadi Orang Benar, Yang Mana Perlu Diutamakan?


JIKA kita diberikan dua pilihan memiliki peribadi mulia-berakhlak baik atau menjadi orang benar (betul)-mana satukah yang akan diutamakan?

Apa yang pasti, sama ada memilih untuk mengutamakan akhlak baik atau menjadi orang benar, kita lazimnya memberikan alasan-alasan yang boleh diterima akal fikiran manusia lain.

Namun begitu, menurut seorang pengajar Institut AlKauthar, Sheikh Yahya Ibrahim, umat Islam seharusnya memilih untuk mengutamakan akhlak baik berbanding menjadi orang benar.

Ini kerana, pendakwah Islam kelahiran Kanada dan kini menetap di Perth, Australia itu menyatakan bahawa pilihan tersebut selaras dengan makna sunnah Rasulullah SAW itu sendiri.

“Kita tahu sunnah amat penting dalam kehidupan seseorang Muslim tetapi adakah kita tahu dan faham maknanya? Ia bermakna fitrah atau bagaimana kita seharusnya menjalani kehidupan ini,” katanya dalam satu siri ceramah yang dipetik daripada YouTube, baru-baru ini.

Ikuti sesi soal jawab dengan beliau:

Boleh terangkannya lebih lanjut?

Sheikh Yahya: Selaku umat yang taat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, kita seharusnya mengutamakan peribadi akhlak yang baik. Para ulama tersohor dahulu juga sering kali menyatakan bahawa akhlak baik adalah sebahagian daripada iman kita. Anda boleh jadi orang yang benar tetapi lebih baik berakhlak mulia terlebih dahulu dan barulah selepas itu menjadi orang yang benar.

Ada tak kisah Rasulullah SAW dalam hal ini?

Sheikh Yahya: Ada satu kisah sejarah Rasulullah SAW berjiran dengan seorang perempuan tua yang tidak percaya baginda adalah utusan Allah SWT. Bila setiap kali Rasulullah SAW melalui rumahnya, dia akan melemparkan segala macam sampah sarap kepada baginda. Itu berlaku setiap hari, minggu dan bulan.

Tetapi pada satu hari ketika baginda melalui rumah perempuan tua itu, Rasulullah SAW dapati perempuan itu tidak ada di muka pintu rumah seperti biasa untuk melemparkan sampah sarap. Keadaan itu berterusan sehingga hari ketiga.

Jadi, baginda terus menghampiri rumah itu dan mengetuk pintu kerana ingin bertanya khabar perempuan tua tersebut. Perempuan tua itu terkejut dengan kedatangan baginda. Dia bertanya apa tujuan kedatangan baginda.

Apa yang terjadi?

Sheikh Yahya: Rasulullah SAW menjawab dengan tenang. “Anda memberi ucapan salam yang paling unik kepada saya setiap hari tetapi selepas tiga hari, anda tidak berbuat demikian, saya merasakan mungkin ada sesuatu perkara telah berlaku,” kata baginda.

Perempuan tua itu menjawab, anak lelakinya yang tinggal di seberang jalan tidak pula datang menjenguk dia untuk mengetahui sama ada dia sakit atau tidak. Tetapi kamu (baginda SAW), yang aku baling sampah sarap setiap hari datang mengetuk pintu dan bertanya khabar sebelum anak lelaki aku. Sesungguhnya, mulai hari ini, aku percaya bahawa kamu adalah utusan Allah SWT.

Jadi, apakah pengajarannya?

Sheikh Yahya: Sebenarnya ada banyak lagi kisah akhlak mulia Rasulullah SAW yang diceritakan dari satu generasi ke satu generasi. Kita selaku umatnya perlu mengikuti akhlak yang ditonjolkan oleh Rasulullah SAW itu supaya dunia tahu siapa sebenarnya baginda.

Hari ini masih ramai dalam kalangan manusia tidak mengetahui dan memahami karakter baginda sebenar kerana mereka keliru tentang apa yang telah didengar dan dibaca.

Sumber: Utusan