SUNGAI PETANI - Setiausaha Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Datuk Abdul Rahman Ibrahim menyelar tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang hadir menyertai himpunan haram Bersih 5 yang berlangsung di ibu negara, semalam.
Tegas beliau, apa yang dilakukan Mahathir itu bagaikan "meludah ke langit" dan sewajarnya mantan Perdana Menteri itu lebih wajar mengikut saranan ramai supaya kembali ke "tikar sejadah" seperti yang dinasihatkan Ketua Pemuda PAS, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz.
""Tindakan Tun Mahathir menyertai dan menyokong kumpulan baju kuning atau Bersih ini adalah tidak kena sama sekali. Macam meludah ke langit dan jatuh ke mukanya sendiri.
"Dulu dia mengutuk Bersih. Tapi hari ini dia bukan saja menyokong, malah turut menyertai dan memimpin kumpulan itu semata-mata tak puas hati pada pemimpin yang ada, yang mungkin bercanggah dengan kepentingan peribadinya atau menghalang cita-cita peribadinya.
"Jadi penyertaan Dr Mahathir dalam Bersih 5 adalah suatu yang berlawanan dengan prinsip atau pendiriannya masa lalu. Itu tidak wajarlah," tegas beliau yang menghadiri Konvensyen UMNO Kedah 2016 di sini, semalam.
Abdu Rahman berkata, tindakan Mahathir menyokong himpunan haram itu juga hanya menjatuhkan imej beliau sendiri sebagai seorang negarawan ekoran ia adalah amat berlawanan dengan prinsip yang dipegang beliau ketika berkuasa menjadi Perdana Menteri dulu.
"Sebagai seorang tokoh, seorang negarawan yang pada ketika pentadbirannya, dia sendiri melabelkan kumpulan seperti ini sebagai kumpulan yang salah, tidak patuh undang-undang dan tidak wajar.
"Sebagai seorang yang telah berumur, Mubarak berpandapat Tun Mahathir sepertimana yang disarankan oleh banyak pihak, termasuk Pemuda PAS, supaya dia duduk di tikar sembahyang.
"Saya rasa itu saranan yang paling tepatlah sebagai seorang tua yang sudah melampaui zamannya. Zaman ini bukan zamannya lagi.
"Kita rakyat Malaysia masih menganggap dia sebagai negarawan, tapi tindakan-tindakannya akhir-akhir ini dianggap dia telah menjejaskan reputasi ketokohan dan penghormatan terhadap dirinya sendiri," katanya meluahkan rasa kesal ketika ditemubual Kedahnews.com.
UMNO Kedah semalam menganjurkan Konvensyen UMNO Negeri Kedah 2016 menyaksikan lebih 1,000 kepimpinan UMNO Bahagian, ketua-ketua sayap dan perwakilan dari 15 UMNO Bahagian di Kedah berkampung di sini dengan penuh semangat dan jatidiri parti.
Menuju matlamat mengekalkan kemenangan bergaya dan mensasarkan majoriti dua pertiga Dun Kedah pada PRU ke-14 nanti, percaturan UMNO dilihat sebagai paling stabil berbanding pepecahan dan kontroversi terkini yang terus menghantui di kalangan parti-parti pembangkang di negeri ini. -Kedahnews.com