Caj RC: Pemilik Kenderaan Thai Resah Jika Dikenakan Bayaran Masuk


ALOR SETAR - Pemilik kenderaan persendirian negara jiran, Thailand, agak resah dengan ura-ura perlaksanaan caj jalan raya (RC) memasuki Malaysia melalui sempadan Bukit Kayu Hitam oleh pihak berkuasa tidak lama lagi.

Seorang warga Thai, Yong Yut, mengatakan dia sering menggunakan pintu sempadan Bukit Kayu Hitam setiap minggu atas urusan kerja dan sekiranya dikenakan RC maka sudah tentu ia akan memberi bebanan kos terhadapnya.

"Saya selalu masuk sini (Malaysia), hampir setiap minggu. Kalau depa caj RM20 sekali masuk, maka dah tentulah saya kena bayar juga walau macam mana pun.

"Pada masa yang sama, dah tentu jugalah ia membebankan saya sedikit," katanya yang enggan dirakam gambarnya.

Sementara itu, seorang peniaga warga Thai yang dikenali sebagai Wadee berkata, dia perlu masuk ke Malaysia sekurang-kurangnya empat hingga enam kali dalam tempoh sebulan dan sekiranya RC dikenakan, ia bakal meningkatkan kos perniagaannya.

"Jika depa kenakan caj RM20 sekali masuk, mungkin saya terpaksa bayar dalam anggaran RM80 hingga RM120 sebulan. Mungkin kurang, mungkin lebih. Saya boleh bayar, tidak ada masalah.

"Cuma, mungkin caj tu akan beri kesan sikit pada kos barang jualan saya. Pelanggan saya di Malaysia mungkin akan merungut sikitlah," katanya yang membekalkan pakaian dan produk negara itu secara kecil-kecilan di kawasan utara Semenanjung Malaysia.

Pada 1 November baru-baru ini, semua kenderaan persendirian dengan nombor pendaftaran asing memasuki Malaysia melalui pintu sempadan Johor dikenakan bayaran caj jalan raya (RC) sebanyak RM20 bagi setiap unit kenderaan.

Sebelum ini, Singapura mengenakan caj Permit Kenderaan Masuk (VEP) sebanyak S$4 (RM9.40) sehari untuk motosikal dan S$20 (RM44.80) sehari untuk setiap kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia bagi kategori kereta dan van yang masuk ke republik berkenaan.

Tiada sebarang caj bagi kenderaan bernombor pendaftaran Thailand yang keluar masuk di pintu sempadan negara sebelum ini, namun setiap kenderaan yang melalui pintu sempadan itu perlu mengisi borang tertentu di kaunter imigresen bagi kedua negara. -Kedahnews.com