Cheng Hoe Ganti Kim Swee Jika Harimau Malaysia Gagal Di Piala AFF Suzuki?


ALOR SETAR - Ketua Jurulatih skuad bola sepak Kedah, Tan Cheng Hoe menafikan dakwaan beliau "dipancing" oleh beberapa pihak untuk mengendalikan pasukan lain pada musim yang akan datang.

Beliau berkata, tidak ada mana-mana pasukan yang datang secara rasmi membuat tawaran sedemikian padanya dan ia hanyalah sekadar "gosip" dunia bola sepak tanah air sahaja.

"Dengarnya begitu, tapi bukan 100 peratus tepatlah," katanya kepada Kedahnews.com, mengulas mengenai dakwaan tersebut.

Cheng Hoe menjelaskan bahawa beliau hanya mendengar khabar kononnya ada pasukan yang berminat untuk membuat tawaran padanya, namun enggan menjelas identiti pasukan yang dimaksudkan.

Beliau yang diiktiraf antara 10 jurulatih terbaik Asia Tenggara itu berkata dirinya lebih gembira untuk kekal di Kedah dan terus diberi kepercayaan untuk mengemudi pasukan Lang Merah buat masa sekarang.

"Bagi saya, saya lebih gembira untuk bersama Kedah," katanya memberitahu hasrat sebenar dan pendiriannya untuk terus menjadi jurulatih pasukan Kedah.

Cheng Hoe pada awal September lalu diiktiraf tersenarai dalam kelompok 10 pengurus bola sepak terbaik ASEAN 2016 melalui laman web sukan fourfourtwo.com.

Beliau berada dalam kedudukan ketujuh dalam senarai berkenaan mengatasi jurulatih skuad Singapura, V Sundramoorthy yang berada pada kedudukan ke-11, selain Irfan Bakti dari FELDA United (14) dan jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee (15).

Ekoran kejayaannya mengemudi dan berjaya menjulang pasukan Kedah sebagai juara TM Piala Malaysia 2016 baru-baru ini, dijangka ia sekaligus melonjak reputasi beliau sebagai jurulatih tempatan paling bernilai di arena bola sepak negara.

Bekas pemain Kedah ketika skuad itu menjuarai Piala Malaysia pada 1990, juga pernah bersama skuad kebangsaan sebagai pembantu jurulatih sejak 2009 hingga 2013, selain menjadi pembantu kepada jurulatih Malaysia Datuk K Rajagobal sewaktu Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki pada 2010.

'Cakap-cakap' bola di kalangan netizen di media sosial pula mengatakan bahawa Cheng Hoe adalah antara jurulatih paling sesuai untuk menggantikan jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kinm Swee, sekiranya jurulatih Harimau Malaysia itu gagal memastikan pasukan bola sepak negara mencapai sasaran yang diharapkan pada Piala AFF Suzuki nanti. - Kedahnews.com