DAP Ikrar Akan Lawan RUU 355 Di Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR – DAP berikrar akan menentang usaha PAS untuk memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah di negara ini semasa pembentangan usul RUU355 di Dewan Rakyat.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, RUU355 sebuah undang-undang yang menghampiri hukum hudud yang bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

“Usul yang dikemukakan PAS itu akan meningkatkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda RM100,000 dan sebatan 100 kali kaatas pesalah syariah.

“Hukuman syariah ketika ini adalah tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan rotan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mendakwa kononnya DAP menghormati kemahuan umat Islam untuk membuat keputusan mengenai agama mereka sendiri.

Bagaimanapun, katanya, umat Islam tidak boleh mengenepikan bukan Islam Malaysia yang mahu melihat Perlembagaan Persekutuan yang bersifat sekular dikekalkan.

Justeru, beliau mengingatkan semua pihak bahawa usul yang dibawa oleh PAS untuk memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah menuju ke arah hukum hudud. – Kedahnews.com