DAP Parti "Cakap Tak Serupa Bikin"


GEORGE TOWN – Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa tidak mempraktikkan apa yang dilaungkan apabila bercadang mengeluarkan Permohonan Cadangan (RFP) untuk memajukan Bukit Bendera walaupun ia pernah ditentang oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

Datuk Jahara Hamid
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid berkata Kit Siang sendiri bersungguh-sungguh menolak perancangan untuk membangunkan Bukit Bendera ketika pentadbiran negeri di bawah bekas ketua menteri, mendiang Tun Dr Lim Chong Eu.

“Tetapi kini anaknya Lim Guan Eng yang menjadi ketua menteri pula bercadang untuk memajukan bukit itu,” katanya kepada pemberita di luar persidangan DUN, di sini semalam.

Beliau berkata perkara itu jelas menunjukkan bahawa DAP merupakan parti yang ‘cakap tidak serupa bikin’.

“Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu menjelaskan dakwaan RFP bagi pembinaan hotel yang mempunyai 200 hingga 300 bilik di Bukit Bendera.

“Bagi saya, pembinaan hotel di situ adalah tidak wajar dan akan memusnahkan alam semula jadi serta ekosistem di Bukit Bendera,” katanya. – BERNAMA