"De Facto" Pakatan Harapan Mahu Satu Manifesto Sahaja


Pakatan Harapan perlu membentangkan hanya satu manifesto untuk pilihan raya umum akan datang, kata Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Beliau yang dilihat sebagai "De Facto" Pakatan Harapan berkata, konvensyen sulung Pakatan Harapan pada Sabtu telah bersetuju untuk 'pertandingan satu lawan satu' dengan Barisan Nasional dan hanya satu manifesto daripada pembangkang.

"Kita hanya boleh membentangkan satu manifesto kepada rakyat, jika tidak, dengan dua manifesto, kita akan menjadi bahan ketawa di negara ini, seperti yang berlaku pada tahun 1990-an di mana terdapat dua blok pembangkang," katanya dalam ucapan perasmian konvensyen tahunan parti, semalam.

Memetik laporan mStar, difahamkan bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali bersetuju dengan Kit Siang.

"Itu adalah pilihan lebih baik untuk menghantar mesej yang jelas kepada pengundi bahawa kita bersatu dan kita serius untuk melakukan perubahan dan pembaharuan," kata Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR.

Kenyataan Kit Siang itu juga menguatkan lagi dakwaan yang mengatakan bahawa DAP adalah merupakan ketua sebenar Pakatan Harapan, manakala Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wang Ismail hanyalah "ketua pembangkang" yang sekadar "boneka" sahaja.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa wakil parti paling banyak memenangi kerusi Parlimen perlu dipilih sebagai Perdana Menteri sekiranya pembangkang berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14 nanti.

DAP kini merupakan parti terbanyak memiliki 38 kerusi parlimen, sekaligus menobatkan parti berkenaan sebagai parti pembangkang terbanyak memiliki kerusi Dewan Rakyat berbanding parti pembangkang yang lain.

Sebelum itu, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata, hasil perbincangan mengenai pertandingan satu lawan mesti ditentukan lebih awal supaya parti-parti dalam Pakatan Harapan boleh membuat persediaan untuk pilihan raya umum ke-14.

"Jika persetujuan tidak boleh dicapai, maka ia perlu dimaklumkan awal supaya kita boleh bersedia dan menguatkan diri kita untuk menghadapi pilihan raya, sama ada ia akan menjadi saingan dua penjuru atau tiga penjuru," katanya ketika berucap pada konvensyen parti.

Merujuk kepada rundingan dengan PAS, Pua berkata perbincangan mengenai kerusi tidak sepatutnya diteruskan sehingga saat-saat akhir kerana ia boleh memberi kesan kepada prestasi pakatan pembangkang, terutamanya, persediaan Parti Amanah Negara (PAN).

"Kita perlu ingat, semakin kuat PAN, semakin kuatlah Pakatan Harapan. Semakin kuat PAN, semakin lemah musuh-musuh kita," katanya.

Pada Sabtu, PPBM mengisytiharkan bahawa ia akan menyertai Pakatan Harapan secara rasmi sebaik sahaja beberapa isu tertentu, termasuk kemasukan PAS dalam barisan pembangkang diselesaikan.

Sementara itu, PAS menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi lagi dengan DAP dan PAN, selain mengekalkan pendirian mengetuai blok ketiga pembangkang, Gagasan Sejahtera, yang ditubuhkan bersama parti Ikatan. -Kedahnews.com