"Demokrasi" Suu Kyi Cuma Satu Sandiwara - PAS


KUALA LUMPUR – Kemenangan penerima Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi dalam pilihan raya Myanmar dengan “tagline” demokrasi sebelum ini hanya sandiwara semata-mata.

Ketua Pemuda PAS Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, anugerah Nobel Keamanan wajib ditarik kembali daripada Suu Kyi kerana tidak bersuara dalam kekejaman ke atas umat Islam Rohingya di negaranya.

“Rakhine menjadi saksi pembataian berterusan tentera Myanmar terhadap etnik minoriti beragama Islam Rohingya. Pembunuhan tanpa penentangan, runtuhan masjid, pembakaran kampung, wanita dirogol dan penangkapan kanak-kanak juga warga tua.

“Kemenangan Suu Kyi dalam pilihan raya Myanmar dengan “tagline” demokrasi hanya sandiwara. Malah Anugerah Nobel Keamanan wajib ditarik kembali daripada beliau. Dimana perjuangan keamanan dan demokrasi beliau,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Akmal berkata, Pemuda PAS Perak meminta kerajaan Malaysia membawa suara majoriti umat Islam di Malaysia kepada dunia supaya etniik Rohingya di berikan pembelaan dan keadilan sewajarnya.

Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan Perak bersedia menerima pelarian etnik Rohingya untuk ditempatkan sementara bagi menjamin keselamatan mereka atas nama kemanusiaan.

“Perak merupakan negeri yang sangat luas. Masih boleh lagi dibangunkan satu kawasan contohnya seperti di Pulau Sembilan berhampiran Bagan Datoh untuk menempatkan mereka,” katanya.

Suu Kyi antara tokoh hak asasi dan keadilan yang sering dipuji, dijulang dan diperkatakan oleh pemimpin pembangkang di Malaysia sebelum ini. -Kedahnews.com