KEMENANGAN Donald Trump sebagai bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) bukan sahaja dianggap mengejutkan tetapi mencetuskan rasa kebimbangan umat Islam di seluruh dunia khususnya yang menetap di negara itu.
Ini berikutan, Trump pernah mengeluarkan kenyataan kontroversi menyeru pengharaman ke atas orang Islam dari memasuki AS selepas insiden tembakan di California tahun lalu.
Dalam kebimbangan terhadap tindak balas anti-Muslim di negara itu selepas kemenangan Trump, penyanyi terkenal berhijab, Yuna, pula bertegas mahu kekal dan meneruskan kerjayanya di negara Uncle Sam itu.
Yuna menyatakan pendiriannya itu selepas ditanya oleh peminatnya menerusi laman Twitter sama ada dia akan meneruskan kerjayanya di sana atau pulang ke Malaysia.
“Sudah tentu teruskan! Ada lebih banyak muzik untuk dihasilkan, lebih besar mesej untuk dikongsi… berhenti adalah untuk orang yang mengalah,” tulisnya.
“Saya akan pulang ke rumah sekali-sekala untuk pekerjaan/keluarga. Namun, ingat. Pelajar Malaysia di sini kena terus di sini untuk belajar. Kena jadi ‘brave’ macam mereka,” tulisnya lagi.
Pada Selasa lalu, Trump yang merupakan calon Parti Republikan menang sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45 sekali gus menghampakan pesaingnya dari Demokrat, Hillary Clinton.
Sementara itu, laman The Independent melaporkan kenyataan Trump yang menyeru orang Islam dilarang masuk ke AS itu sudah dipadamkan dari laman rasminya. – Kedahnews.com