Difirnah Laman Web, Petronas Sangkal Dakwaan Buang 50,000 Pekerja


ALOR SETAR - Dakwaan sebuah laman web yang mengatakan kononnya Petronas bakal membuang seramai 51,000 pekerja syarikat berkenaan adalah sama sekali tidak benar dan berbaur fitnah yang mungkin berniat jahat.

Menurut sumber rapat dengan syarikat GLC berkenaan, Petronas langsung tidak terfikir untuk menamatkan perkhidmatan lebih 50,000 pekerjanya seperti yang dituduh pengendali laman web tersebut.

Jelas sumber tersebut, Petronas sebagaimana syarikat-syarikat minyak dan gas yang lain sememangnya sedang meneliti serta mengkaji portfolio syarikat termasuk jumlah sebenar pekerja yang diperlukan berdasarkan ketidaktentuan keadaan ekonomi ekoran harga minyak yang tidak menentu.


"Namun tidaklah sehingga kepada membuang atau menawarkan VSS kepada lebih 50,000 pekerja (Petronas)," tegas sumber berkenaan berhubung tuduhan tersebut.

Walau bagaimanapun, tuduhan pengendali laman web itu telah tersebar meluas di media-media sosial dan dipercayai telah memberi tanggapan buruk terhadap imej syarikat milik kerajaan tersebut. - Kedahnews.com