KUALA LUMPUR – Kira-kira 20 orang kelihatan cuba menyerang Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad di perkarangan Parlimen semalam.
Kumpulan lelaki dan wanita yang memakai pas pelawat itu kelihatan memang berada di situ sebelum Khalid tiba lagi dan cuba mendekati Khalid sebaik sahaja beliau keluar dari kenderaannya untuk menuju ke lobi Parlimen kira-kira 11 pagi.
Mereka melemparkan pelbagai cemuhan terhadap Khalid dan kelihatan ada yang cuba mendekati Khalid.
Pasukan sekuriti Parlimen, bagaimanapun, berjaya mengawal keadaan dan mengiringi Khalid memasuki Dewan Rakyat manakala kumpulan itu dibawa keluar meninggalkan kawasan berkenaan.
Mereka dipercayai bertindak demikian ekoran rasa tidak puas hati terhadap Khalid yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Anggota Parlimen Pasar Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sewaktu perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Khalid dikatakan mencerca Tajuddin setelah beliau (Tajuddin) didakwa mengeluarkan perkataan kurang sopan terhadap Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok semasa perbahasan itu.
Sementara itu ketika diminta mengulas kejadian tersebut, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata satu penyiasatan perlu dilakukan kerana Parlimen merupakan kawasan larangan yang berada di bawah kawalan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
“Sekiranya seseorang atau mana-mana kumpulan ingin masuk ke Parlimen, mereka perlu dijemput sama ada oleh anggota Parlimen atau penjawat awam dan perlu berdaftar di pintu pagar Parlimen.
“Ini merupakan suatu perkara yang serius kerana seorang anggota Parlimen telah diancam oleh mereka. Jadi, satu penyiasatan perlu dilakukan segera,” katanya.
Dalam pada itu, Khalid ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen berkata beliau akan berjumpa dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk membuat laporan mengenai insiden itu.
“Kita akan pergi berjumpa (Pandikar) dan membuat laporan dengan rakan-rakan lain supaya mereka yang datang dengan niat untuk bertindak ganas itu akan diambil tindakan khususnya oleh pihak polis,” kata Khalid. – BERNAMA