EKSKLUSIF: "Otai" UMNO Minta Pemimpin Supaya "Jangan Berlagak"


ALOR SETAR - Para pemimpin UMNO di zaman ini diminta supaya mengubah sikap untuk tidak meninggi diri sebaliknya menggunakan pendekatan yang lebih merendah diri dan sederhana terutama apabila berdepan dengan masyarakat.

"Orang lama" UMNO, Mohd Hadzir Jaafar yang lebih dikenali sebagai "Cikgu Det" dari Sik berkata, gaya hidup dan sikap sedemikian bukan saja merugikan diri sendiri, malah ia mampu menimbulkan rasa syak curiga yang akhirnya mencetus rasa benci orang ramai terhadap parti.

"Pemimpin UMNO ni dia jangan berlagak.. Baru jadi jawatankuasa bahagian, baru jadi wakil kepada Yang Berhormat.. Yang Berhormat tak tera mana, kita pulak lebih daripada Yang Berhormat.

"Kereta hutang beratus-ratus ribu, nak bayar pun tak tentu. Rumah pun pi beli sampai sakan-sakan.. Jadi benda-benda macam ni menyebabkan orang benci, itu saja...

"Saya takdak takut kat sesiapa, saya hidup di sebuah negara yang bebas.. Saya (ahli) UMNO," tegas beliau ketika ditemubual secara eksklusif ketika berlangsung Konvensyen UMNO Negeri Kedah di Sungai Petani, baru-baru ini.

Cikgu Det yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri sebelum itu dijemput berucap membahaskan usul di pentas UMNO, turut menegur para pemimpin supaya tidak merajuk apabila tidak terpilih untuk menjawat jawatan tertentu.

Bersulamkan kiasan penuh bermakna dengan kisah-kisah lama yang wajar dijadikan iktibar, Cikgu Det menggamatkan dewan dengan teguran mesra dan melucukan para pemimpin serta lebih 1,000 perwakilan di depan beliau.

Selain itu, veteran yang berjuang untuk UMNO sejak berusia 23 tahun itu turut menyeru kepada anak-anak muda supaya meningkatkan jati diri dalam diri masing-masing dan mengenang kembali segala jasa pengorbanan "orang lama".


Kata beliau, generasi muda bukan saja perlu tahu, bahkan menyelami segala keperitan hidup zaman dahulu yang akhirnya membuahkan hasil yang manis dan dituai oleh generasi di zaman sekarang.

"Saya seru kepada anak-anak muda ni.. fahamilah sama perjuangan orang dulu-dulu. Kelemahan kita, kita tinggalkan jadi sejarah..," kata beliau sambil mengimbas kembali zaman awal perjuangan UMNO yang menempuh pelbagai kesusahan dan cabaran hidup.

Beliau berpandangan bahawa anak-anak muda di zaman ini ramai yang enggan peduli atau mengenal erti kesusahan perjuangan nenek moyang dulu ekoran lahir di zaman yang serba moden dan segala kemudahan sudah tersedia di depan mata.

"Anak saya ada seorang kerja jurutera, dia dok dalam kebun getah tapi dia tak tahu sekerap macam mana dan di mana nak jual. Dia gaji RM7,000, RM8,000.. Dia tak sanggup lagi makan di kedai mamak nasi kandar, dia nak makan kena ada aircond.

"Tapi hat ni (seorang lagi anaknya) dok dengan saya, hat ni nasi bungkus pun dia makan. Kita dok latih anak-anak kita ni macam orang kaya. Kita tiru barat sepenuhnya, sedangkan barat bukan macam tu pun..

"Budak-budak ni kena didedahkan, panggil orang-orang yang luas pengalaman ke luar negari cerita bagi pasal negeri dan negara lain, bukan kita yang cerita," katanya lagi.

Katanya lagi, anak-anak Melayu di zaman ini bukanlah terlalu pandai sangat seperti yang disangka, namun pihak kerajaan banyak membantu mereka dengan memberi peluang mendapatkan pendidikan hingga ke peringkat tertinggi.

"Kadang-kadang orang muda ni, depa rasa depa pandai. Kita kena sedar, macam saya dan anak-anak sayalah contohnya. Without UMNO running the country, you are nothing.


"Dia masa mengaji dulu pun bukannya pandai sangat. Tapi pasal dia Melayu, dia duduk di luar bandar dan sebagainya, dia dapat 2A 3B pun orang ambil (lanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi). 2A pun dah dikira sama dengan 5A di bandar...

"Mereka semua ini diberi peluang, diletak di asrama desa. Mana ada dalam dunia bayar RM5 tapi makan RM300..

"Jadi orang-orang macam ni bila dia keluar (tamat pengajian), janganlah sombong... hangpa ni pun bukan tera mana sangat, pasal hangpa Melayu saja.. buruk baik Melayu yang perintah dia akan tetap beri peluang kepada anak-anak Melayu," katanya.

Justeru itu Cikgu Det menyarankan kepada UMNO supaya memberi penerangan dengan menggunakan pendekatan yang lebih baik kepada golongan muda supaya mereka tidak tersasar dan hilang jati diri dalam diri mereka. -Kedahnews.com