Enggan Bantu Rohingya Sebab Tidak Beri Manfaat Strategik


LONDON - Sebuah pertubuhan aktivis Islam Britain percaya masyarakat antarabangsa tidak bersungguh-sungguh membantu etnik Islam Rohingya yang ditindas oleh kerajaan Myanmar kerana menganggap usaha sedemikian tidak membawa manfaat yang strategik.

Wakil Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Britain (MPACUK), Raza Nadim berkata, konflik yang berlaku di Rakhine, Myanmar tidak melibatkan soal etika dan ideal tetapi melibatkan soal kuasa.

"Sebab itu, kita lihat liputan (media) tentang penderitaan etnik Rohingya sangat kurang dan hanya segelintir pihak sahaja mengecam tindakan pihak berkuasa Myanmar.

"Malah tidak ramai pemimpin mempersoalkan tindakan pemenang Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi mendiamkan diri berhubung konflik tersebut," katanya.


Raza menjelaskan, penduduk Islam di Myanmar tidak yakin terhadap Suu Kyi walaupun sebelum beliau mendapat kuasa.

Ujarnya, kerana pemimpin Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) sering membicarakan tentang soal keamanan dan terbuka kepada demokrasi tetapi etnik minoriti Rohingya tidak mengecapi keistimewaan tersebut.

Malah katanya, wujud usaha memburukkan pelarian Rohingya di Bangladesh dan banyak negara lain cuba menyalahkan etnik minoriti itu.


"Etnik Rohingya merupakan penduduk tanpa kerakyatan, tiada negara mahukan mereka dan jika Bangladesh mengambil mereka, ia disebabkan negara itu mahukan dana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Namun terlalu banyak propaganda ditaburkan terhadap mereka sehingga membuatkan ramai pihak membenci etnik tersebut, sekali gus berlakukan serangan ke atas kem pelarian," katanya.

Sumber: mStar