Fidel Castro Meninggal Dunia Dalam Usia 90 Tahun


HAVANA – Fidel Castro, mantan presiden dan pemimpin revolusi komunis Cuba, meninggal dunia dalam usia 90 tahun pada hari ini, menurut pengumuman rasmi stesen televisyen negara itu.

Bagaimanapun stesen penyiaran antarabangsa BBC melaporkan bahawa pengumuman khas tersebut tidak pula memberikan sebarang perincian lebih lanjut mengenai berita kematian tokoh terkenal berkenaan.

Fidel Alejandro Castro Ruz telah memerintah Cuba sebagai negara satu parti selama hampir setengah abad sebelum akhirnya menyerahkan kekuasaan negara kepada adik kandungnya sendiri, Raul Castro, pada 2008 lalu.

Berita itu disahkan Raul tanpa mendedahkan sebab kematian, dan menyatakan abangnya itu menghembuskan nafas terakhir pukul 10.29 malam Jumaat (11.29 pagi Sabtu waktu Malaysia) serta dikebumikan pada hari tersebut.

Di sebalik ramai penyokong memuji beliau sebagai orang yang bertanggung jawab mengembalikan Cuba kepada rakyat, tetapi ramai penentangnya pula menuduh mendiang telah menekan pihak pembangkang secara brutal.

Mendiang turut diingati kerana sekatan perdagangan antarabangsa yang dikenakan Amerika Syarikat pada 1961 lalu ekoran ancaman senjata nuklear dan perang dingin sebelum ditarik balik oleh Presiden Barack Obama pada 2011.

April lalu, Fidel berpidato pada hari terakhir kongres Parti Komunis Cuba telah mengakui usianya sudah lanjut namun tentang konsep komunis negara itu, beliau mendakwa konon ia masih sah dan rakyat Cuba ‘akan berjaya’.

“Saya akan segera mencecah genap usia 90 tahun,” katanya merujuk tarikh lahirnya pada 13 Ogos 1926 sambil menambah bahawa perkara itu merupakan ‘sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan selama ini sepanjang hidup’.

“Saya akan segera menjadi seperti semua individu lain dan giliran kita semua akan datang,” kata Fidel yang berjaya dilantik mengambil alih jawatan presiden Cuba daripada Osvaldo Dorticós Torrado pada 2 Disember 1976 lalu.

Castro (paling kiri), Che Guevara (tengah)

Mendiang yang pernah menjadi peguam serta berkahwin dengan Mirta Diaz-Balart (1948 – 1955) dan kemudian Dalia Soto del Valle (1980 – kini) serta dikurniakan sembilan orang anak.

Berikut sejumlah peristiwa penting berkaitan mendiang Fidel:

1926: Lahir di ladang bapanya di Biran, wilayah Oriente di tenggara Cuba.

1945: Mula belajar undang-undang di Universiti Havana dan aktivis pelajar.

1947: Menyertai Partido Ortodoxo (Parti Rakyat) diasaskan Eduardo Chibas.

1953: Dipenjara setelah memimpin pemberontakan terhadap rejim Batista.

1955: Dibebaskan dari penjara berdasarkan kepada proses rayuan.

1956: Bersama Che Guevara, memulakan perang gerila melawan pemerintah.

1959: Mengalahkan Fulgencio Batista, dilantik sebagai perdana menteri Cuba.

1962: Memicu krisis peluru berpandu Cuba dengan sokongan Soviet Union.

1976: Terpilih rasmi sebagai presiden oleh Majlis Nasional Cuba.

1992: Mencapai kesepakatan dengan AS berkait masalah pelarian Cuba.

2008: Berundur daripada jawatan presiden Cuba kerana masalah kesihatan. – Agensi