Gadis Mangsa Serangan Raba Punggung Kini Bawa Penyembur Lada


PETALING JAYA - Trauma dengan insiden serangan seksual menyebabkan pelajar universiti Cristal Chua kini lebih berhati-hati dalam soal keselamatan diri.

Susulan insiden itu, dia kini sentiasa membawa bersama penyembur lada ke mana sahaja dia pergi.

Kesan insiden yang berlaku di hadapan unit kondominium yang disewanya dekat Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) di Sungai Long, Kajang masih lagi dirasainya.

Pelajar jurusan komunikasi massa berusia 22 tahun itu berkata dia tidak akan sesekali meninggalkan rumah sewanya tanpa membawa bersama penyembur lada.

"Saya rasa kurang senang ketika berjalan di kampus seorang diri pada Rabu.

"Saya tiada rancangan untuk berpindah tetapi ibu saya amat bimbang tentang keselamatan saya," katanya.

Kira-kira pukul 3.30 petang Selasa, Chua dan juga rakannya, Tammy Ong, 21, sedang berjalan ke rumah sewa Chua apabila seorang lelaki tiba-tiba muncul dan meraba punggungnya.

Mereka berkata lelaki itu juga cuba meraba dada Ong tetapi dia menjerit hingga menyebabkan penyerang melarikan diri.

"Saya tahu terdapat banyak kes lain di luar sana tetapi hanya segelintir yang memilih untuk bercakap.

"Mana-mana wanita tidak seharusnya dibuli," kata Chua dalam satu temu-bual.

Ditemani oleh Ong, Chua membuat laporan polis di balai polis Sungai Long pada malam insiden itu.

Sementara itu, Utar akan terus memberi nasihat dan kaunseling kepada pelajarnya mengenai keselamatan diri semasa berada di luar kampus.

"Kami juga telah berbincang dengan polis.

"Terdapat juga kempen keselamatan untuk pelajar, terutama tip keselamatan diri ketika berada di luar kampus," kata universiti itu dalam satu kenyataan.

Sumber: mStar