Hazama Bakal Nikah Genervie Kam Pada Disember Depan


SETELAH empat tahun menjalinkan hubungan cinta, penyanyi, Hazama akhirnya bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasih hatinya, Genervie Kam, Disember depan.

Pernikahan penyanyi Di Amaran Mama ini bagaimanapun, akan diadakan secara ringkas dan tertutup seperti yang pernah dimaklumkan kepada pihak media sebelum ini.

Menurut Hazama, kekasihnya kini sedang dalam proses memeluk agama Islam dan mereka dijangka mengikuti khusus pra-perkahwinan awal bulan depan.

“Memang saya berhasrat untuk bernikah dulu pada bulan depan.  Diharapkan dengan pernikahan itu akan mengelakkan fitnah dan cakap-cakap orang mengenai hubungan kami.

“Alhamdulillah, dia (Genervie) pun kini dalam proses memeluk agama Islam dan keluarganya juga menerima saya dengan sebaiknya

“Orang ramai memang mengharapkan saya mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran seperti dianjurkan beberapa teman lain.  Bukannya saya tidak mahu berbuat begitu, namun ia tetap berbalik kepada keadaan ekonomi dan kewangan.  Jadi, saya rasa lebih elok kami berjimat,” katanya.

Jelasnya, dia akan memaklumkan berita pernikahannya kepada semua peminat di laman sosial selepas semuanya selesai.

“Mungkin saya akan bernikah di masjid atau pejabat agama saja.  Lepas nikah, saya akan maklumkan kepada semua orang di laman sosial.

“Bukan saya tidak mahu menjemput ramai tetamu, cuma saya takut akan menjadi gementar apabila ramai yang datang.  Jadi, saya akan memberikan video apabila majlis nikah selesai.”

Pada masa sama, Hazama akui dia tidak kisah mengenai komen orang lain mengenai pendiriannya itu kerana merasakan apa yang penting adalah pernikahan yang sah.

Bagi yang tidak tahu, Genervie, 36, bakal isteri Hazama merupakan seorang pemuzik yang sering kali menjayakan persembahan beberapa program tv sebelum ini. – Kedahnews.com