SEORANG lelaki di China yang pernah kehilangan sebelah telinga ketika kemalangan tahun lalu bakal mendapat ‘telinga baru’ hasil ditanam oleh doktor pada salah satu lengannya.
Menurut sebuah laman berita tempatan, lelaki yang hanya dikenali sebagai Ji dan berusia lewat 30-an menerima rawatan daripada seorang doktor pakar bedah pembentukan semula iaitu Guo Shuzhong, di Hospital Universiti Jiaotong Xi’an di Xi’an, wilayah Shaanxi.
Guo, yang mempunyai 33 tahun pengalaman dalam bidang berkenaan bersama-sama rakannya, Shu Maoguo menggunakan kaedah pembentukan semula anggota itu dengan mengambil tulang rawan di salah satu rusuk Ji untuk membuat telinga baru.
Terdapat tiga fasa yang terpaksa ditempuhi oleh Ji sebelum telinga baharunya itu boleh di pasang di kepalanya.
Pada fasa pertama doktor menanam penambah kulit di lengan pesakit kemudian disuntik dengan air untuk mengembangkan kulit berkenaan.
Manakala pada fasa kedua pula bahagian rawan tulang rusuk akan ditanam di bawah kulitnya untuk pertumbuhan telinga baharu.
“Fasa ketiga pula merupakan pemindahan telinga baru ke kepala pesakit yang mana mengambil masa dalam tiga atau empat bulan lagi,” kata Shu.
Tambahnya lagi, mereka perlu menunggu telinga baru itu matang atau berkembang sepenuhnya supaya sesuai dengan pesakit.
Ji yang teruja melihat telinga barunya yang tumbuh di lengannya tersenyum sambil berkata, “Ia kelihatan sama seperti telinga lama saya.” –Kedahnews.com