Imigresen Kedah Tahan 18 Warga Asing Dalam Ops Ikrar


ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Kedah menahan 13 lelaki dan lima wanita warga asing dalam Ops Ikrar di beberapa lokasi di sini, kelmarin dan semalam.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri, Mohd Shahrir Khalid berkata kesemua warga asing tersebut yang berusia 17 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan bermula 8.50 malam semalam sehingga 1.45 pagi tadi, membabitkan sebuah hotel, enam premis kediaman dan sebuah restoran.

“Pelbagai kesalahan direkodkan seperti tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Kesemua mereka ditahan di lokap Imigresen Bangunan Kementerian Dalam Negeri, di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik. – BERNAMA