Industri Pertahanan Negara Perlu Dibangunkan - Panglima ATM


PORT DICKSON – Aktiviti perindustrian pertahanan ketenteraan yang bertujuan meningkatkan tahap pertahanan negara perlu dibangunkan dan dimajukan kerana ia dilihat dapat mengurangkan perbelanjaan untuk jangka masa panjang.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata pembangunan industri pertahanan ditumpukan kepada kemampuan bergantung kepada sumber tempatan tanpa atau secara minimum mendapat bantuan asing.

“Sekiranya kita dapat bangunkan dengan mantap kita boleh gunakan sistem-sistem yang kita bangunkan dalam negara ini dengan baik…untuk satu jangka masa panjang ia juga akan jimatkan kos dari segi penyelenggaraan sistem-sistem tersebut dan sebagainya.

“Cuma pada peringkat awal, mungkin memerlukan kos yang tinggi namun apa yang penting kita perlu mengoptimumkan perbelanjaan, dapatkan nilai untuk wang yang terbaik termasuk memikirkan pelbagai cara lain secara di luar kotak,” katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Tentera di sini, semalam.

Dalam membangunkan keupayaan ketenteraan ketika ini, Zulkifeli mengakui terdapat kekangan khususnya dalam aspek bajet kerana itu pelan pembangunan startegik ATM atau pelan 4D MAF perlu disemak dari semasa ke semasa untuk memberi keutamaan kepada keupayaan yang lebih penting.

“Keutamaan mungkin kena kaji semula, mana-mana keupayaan yang diutamakan mungkin tidak boleh dibangunkan secara sekaligus sebaliknya secara berfasa kerana kalau sekaligus, peruntukan yang besar diperlukan,” katanya.

Terdahulu, Zulkifeli dalam ucapannya berkata warga tentera darat hari ini memiliki nilai harga diri yang tinggi, rasa megah dan jati diri yang kukuh serta tidak goyah dengan anasir-anasir yang cuba mengganggu-gugat kestabilan dan keselamatan negara.

“Saya akui, warga tentera darat hari ini telah ditiupkan roh dan semangat pejuang yang rela mempertaruhkan jiwa dan raga demi mempertahankan kedaulatan tanah air yang diwarisi daripada nenek moyang sejak berkurun lamanya.

“Setelah menjangkau 83 tahun, tentera darat telah membuktikan keberadaannya sebagai sebuah pasukan keselamatan yang gah dalam mendukung peranan ATM sebagai tiang seri keselamatan negara.

Beliau turut berharap agar tentera darat terus kekal releven dan menjadi sebuah ketumbukan yang berprestij lagi cekap dalam mendukung wadah pertahanan dan kedaulatan di bawah langit pertiwi ini.

Sementara itu, berkongsi pengalamannya selama 44 tahun berkhidmat dalam ATM, Zulkifeli berkata cabaran yang paling getir semasa berlakunya peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sehingga ATM melancarkan Op Daulat.

“Ini paling tidak boleh saya lupakan, kerana orang menceroboh kedaulatan negara…kita cuba lawan dan mempertahankan kedaulatan, ini merupakan salah satu peristiwa buat sekian lama di mana kedaulatan negara telah tercabar.

“Selama ini kalau kita lihat perjuangan kita dalam operasi-operasi melawan pemberontakan mereka cuba ganggu-gugat kedaulatan kita tetapi tidak sehebat Op Daulat yang mana mereka (penceroboh) sudah menawan sebahagian daripada wilayah kita buat seketika waktu,” katanya dan menambah sebuah buku menceritakan pengalamanya ketika berkhidmat dengan ATM akan dihasilkan tidak lama lagi.

Perbarisan hari ini yang diketuai Lt Kol Mohd Nazri Madjan Abdul Rahman melibatkan 58 pegawai dan 2,020 anggota lain-lain pangkat, dilaksanakan bagi menzahirkan kecemerlangan dan kejayaan yang pernah dimartabatkan Zulkifeli semasa pemerintahannya dalam tentera darat.

Tampuk pemerintahan ATM yang diterajui Zulkifeli sejak lebih empat tahun lalu akan digalas Panglima Tentera Darat Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bermula 16 Disember ini. – BERNAMA