MEMANG pelik jika dikatakan haiwan ternak seperti kambing, biri-biri, lembu dan unta asalnya turun dari langit. Semua sedia maklum bahawa semua binatang ini sudah sedia ada di bumi ketika kita dilahirkan.
Bagaimana persoalan ini boleh timbul? Apa faedahnya berbincang perihal turun atau tidaknya haiwan ini? Sesiapa yang menelaah al-Quran pasti menemui perbincangan tentangnya.
Firman Allah:
“Dia mencipta kamu daripada diri (spesis) yang satu (Adam), kemudian Dia menjadikan daripadanya - isterinya (Hawa); “dan Dia menurunkan untuk kamu binatang ternak lapan ekor: (empat) pasangan (jantan dan betina).” Dia menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) daripada satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga suasana yang gelap-gelita. Yang demikian (kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu; bagi-Nya kekuasaan yang mutlak; tiada Tuhan melainkan Dia; oleh itu bagaimana kamu dapat dipesongkan (daripada mematuhi perintah-Nya)?.” (al-Zumar [39:6]).
Perkataan “dan Dia menurunkan untuk kamu” dalam ayat di atas memang menimbulkan perbincangan dalam kalangan ulama tafsir. Mudahnya terdapat dua pandangan mengenai maksud ayat di atas:
1. Turunnya haiwan ternak dalam ayat ini adalah suatu “kiasan dan bukannya hakiki.” Ini kerana kewujudan haiwan ternak di dunia ini berdasarkan kehendak dan takdir Allah yang ditetapkan di Luh Mahfuz atau kitab induk alam semesta. Urusan kewujudan haiwan ternak ini kemudiannya direalisasikan Allah di bumi. Oleh itu, kewujudan haiwan tersebut diibaratkan seperti “turun”.
Selain itu, ada juga pendapat mengatakan ia adalah kiasan kepada makanan haiwan yang berasal daripada tumbuhan bumi. Tumbuhan seperti rumput subur kerana hujan yang turunnya dari langit. Oleh itu, ia disifatkan sebagai turun dari langit kerana tanpa tumbuhan dan air hujan, ia tidak akan hidup atau wujud (Tafsir al-Alusi, Tafsir al-Razi dan Tafsir al-Qurtubi). Pandangan berkaitan makanan agak logik kerana apabila kemarau panjang, haiwan ternak antara makhluk yang sukar meneruskan hidup kerana ketiadaan makanan.
Jika diperhatikan, Allah juga menggunakan perkataan “turun” untuk pakaian manusia sebagaimana firman-Nya:
“Wahai anak Adam! Sesungguhnya “Kami telah menurunkan kepada kamu” (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah daripada tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (al-A’raf [7:26]).
Ayat ini juga “suatu kiasan” kerana pakaian manusia berasal daripada pokok atau bulu binatang. Kedua-dua bahan itu pula tumbuh dan hidup kerana adunan air hujan yang turun dari langit dan tumbuhan yang menjadi makanan haiwan ternak (Tafsir al-Razi).
BESI TURUT TIDAK TERKECUALI
Bukan hanya haiwan ternak dan pakaian, Allah turut menggunakan “turun” pada besi:
“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus para rasul Kami dengan membawa bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan “Kami menurunkan bersama mereka kitab suci dan keterangan” yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan “Kami menurunkan besi” dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah itu dalam kehidupan mereka seharian) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahan agama Allah serta menolong para rasul-Nya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa,.” (al-Hadid [57:25]).
Ayat ini menjelaskan Islam ditegakkan dengan hujah daripada kitab dan dengan jihad yang digerakkan oleh besi. Setelah hujah kitab ditolak, besi memainkan peranan bagi menyekat manusia kufur. Ayat ini menyifatkan besi “diturunkan” kerana arahan jihad juga diturunkan Allah dari langit. Walaupun begitu perbincangan mengenai turunnya besi dalam ayat ini ada perbincangan khusus yang panjang lebar. Ia tidak akan disentuh di sini.
2. Haiwan ternak tersebut memang secara hakiki berasal dari langit atau syurga. Selepas dicipta di langit, ia diturunkan untuk mendiami bumi secara kekal. Ada juga para ulama berpandangan dengan pendapat ini. Ia dikiaskan kepada Nabi Adam a.s. yang asalnya di langit kemudian diturunkan ke bumi untuk menjadi khalifah. Ia turut berlaku kepada kambing, biri-biri, lembu dan unta pertama yang dicipta Allah (Tafsir al-Alusi, Tafsir al-Razi dan Tafsir al-Qurtubi). Walaupun begitu, Imam al-Alusi mengatakan pandangan ini tidak disandarkan pada nas yang sahih (Tafsir al-Alusi).
Apa yang penting bagi kita ketika meneliti ayat ini, bukannya sibuk mencari asal usul haiwan ternak tersebut tetapi mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah untuk manusia di bumi. Bayangkan apa bakal terjadi jika semua haiwan ternak ini tidak wujud.
Manusia pasti sukar menjalani hidup dengan tenang kerana tidak memiliki protein mencukupi bagi meneruskan hidup. Dengan kewujudan haiwan ternakan, tamadun manusia berkembang pesat. Kewujudannya juga memudahkan kita beribadat kepada Allah dengan ibadat korban, akikah dan sebagainya. Subhaanallah dan Alhamdulillah!
Isu: Haiwan ternak ‘turun’ dari langit
Terdapat dua pandangan ulama tafsir
1. Kiasan, bukannya hakiki
- Makanannya di bumi iaitu rumput hidup bergantung kepada air hujan yang turun dari langit
- Allah juga menggunakan perkataan ‘turun’ untuk pakaian manusia, kiasan kerana keperluan itu berasal daripada pokok atau bulu binatang yang hidup kerana adunan air hujan."
- "Turun" turut dirujuk kepada besi (Surah al-Hadid, ayat25)
2. Haiwan ternak memang secara hakiki berasal dari langit atau syurga.
- Ia dikiaskan kepada Nabi Adam a.s. yang asalnya di langit kemudian diturunkan ke bumi untuk menjadi khalifah.
- Imam al-Alusi mengatakan pandangan ini tidak disandarkan pada nas yang sahih.
Rasulullah SAW pernah berpesan agar kita benar-benar menunaikan hak sesama Muslim dalam sabdanya:
“Muslim sejati adalah orang yang selamatkan Muslim lainnya daripada (kejahatan) lidah dan tangannya,” - Sahih Bukhari dan Muslim.
Sumber: Utusan