#Islam: Halal Atau Haram Bukan Hanya Pada Makanan Saja...


KECOH satu negara apabila mendapati makanan atau minuman yang selama ini dimakan didakwa mengandungi bahan terlarang atau unsur haram. Walaupun belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa, heboh diperkata di semua medium yang ada untuk memboikot produk berkenaan.

Ia menunjukkan keprihatinan umat Islam bagi mengelakkan makanan mengandungi unsur haram. Ini kerana umum mengetahui makanan haram boleh menjejaskan keberkatan hidup di samping memberi kesan kepada darah daging hingga ke anak cucu.

Persoalannya, sejauh mana keprihatinan memastikan kesucian makanan yang masuk ke dalam tubuh itu benar-benar dihayati? Atau cukup sekadar diperakui halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan meletakkan logo halal tanpa mengambil kira urusan lain.

Hakikatnya, makanan halal juga perlu diterjemahkan dalam kegiatan muamalah (perhubungan dan jual beli) terutama dalam memperoleh sumber pendapatan. Walaupun makanan berstatus halal, tetapi jika dibeli daripada sumber haram, maka makanan itu juga menjadi haram.

Isu riba dalam muamalah merupakan kesalahan sering dipandang remeh oleh kebanyakan umat Islam.

Walaupun kerajaan menyediakan pelbagai insentif galakan dan pembangunan prasarana serta infrastruktur kewangan patuh syariah seperti institusi perbankan Islam, namun masih ramai tidak mendukung sistem muamalah Islam.

Berbanding entiti komersial lain, bank merupakan institusi perantara yang mengumpulkan dana orang awam dikenali sebagai deposit untuk disalurkan kepada pelanggan lain yang memerlukan pembiayaan sama ada untuk kegunaan peribadi atau syarikat.

Bertindak sebagai perantara kewangan ini, bank konvensional yang beroperasi pada zaman moden amat bergantung kepada kontrak atau perjanjian berbentuk pinjaman atau hutang bagi menghubungkan kedua-dua pihak ini.

Daripada satu pihak, bank memeterai perjanjian pinjaman dengan pendeposit yang bersetuju memberikan wang mereka untuk dilaburkan dengan mendapat pulangan tetap berbentuk faedah. Manakala, daripada pihak lain, bank mengikat kontrak pinjaman dengan pelanggan yang ingin mendapatkan pembiayaan memenuhi pelbagai keperluan hidup.

Kontrak pinjaman untuk tujuan ini juga berasaskan faedah yang dikenakan pihak bank mengikut kadar tertentu.

Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap pinjaman yang memberi manfaat (kepada pemberi pinjaman dan pada masa yang sama merupakan kezaliman kepada peminjam) merupakan riba.” - Riwayat Bukhari
Hakikatnya, riba atau amalan bank yang mengenakan caj faedah berganda (compounding interest) dalam kebanyakan produk-produk perbankan apabila seseorang tidak melunaskan pembayaran pada tempoh masa ditetapkan adalah sama dengan amalan jahiliah sebelum kedatangan Islam.

Amalan tersebut dikenali sebagai Riba Jahiliyyah iaitu riba yang wujud lantaran si pemberi pinjaman mengenakan kadar denda ke atas si peminjam kerana penangguhan bayaran hutang atau gagal membayar hutang dalam waktu ditetapkan.

Kerana itu, apabila Allah menurunkan ayat pengharaman riba, mereka cuba memutar belit hakikat sebenar dengan mengatakan bahawa riba adalah antara cara mengaut keuntungan dan tiada bezanya dengan transaksi jual beli lain.

Namun, Allah menyangkal hujah dan mengancam mereka dengan hukuman berat, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah: 275, bermaksud:
“Orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba.

“Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu, sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu dia berhenti (daripada mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkaranya terserahlah kepada Allah dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”
Pengharaman riba dalam ayat tadi tidak membezakan sama ada nilai riba adalah kecil mahupun besar kerana semuanya tetap dosa besar yang wajib dijauhi. Malah, dosa riba tidak terhad kepada pemberi dan penerima malah termasuklah mereka yang bersubahat sebagai saksi mahupun sebagai penulis.

Menyedari hakikat ini, kerajaan berusaha memperkenal sistem kewangan dan perbankan alternatif yang bebas daripada unsur bertentangan syarak termasuklah riba, gharar (ketidakpastian), maisir (perjudian) dan zulm (penindasan dan kezaliman) dengan menubuhkan perbankan Islam.

Justeru, sudah tiba masanya sistem perbankan berasaskan syariah ini bukan sahaja diperkasa, malah dipromosi secara besar-besaran oleh seluruh umat Islam.

Sumber: Utusan