KESUCIAN makanan amat dititik beratkan oleh masyarakat Islam. Isu ini amat sensitif kepada masyarakat Islam terutamanya di negara ini kerana ia memberi implikasi terhadap ibadah yang dilaksanakan.
Syariat Islam meletakkan piawaian tinggi dalam menentukan sesuatu makanan atau minuman itu halal atau haram. Ia mencakupi objektif kerohanian yang luas dan mencerminkan keluhuran budi dan akhlak umat Islam. Ini kerana seorang Islam makan bukan sahaja untuk menyihatkan tubuh dan fikirannya tetapi sebagai satu ibadah kepada Penciptanya.
Umat Islam perlu menghalusi konsep halal dan haram ini dalam konteks makanan yang bakal menjadi darah daging mereka. Sesuatu makanan dikatakan halal jika tidak memudaratkan fungsi fizikal dan rohani manusia. Ia mesti bebas daripada sumber yang haram menurut hukum syarak.
Di dalam Surah al-Baqarah ayat 168 Allah berfirman yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia, makanlah daripada makanan yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di atas bumi…..”.
Piawaian digunakan al-Quran untuk pemakanan ialah halal lagi baik atau halalan toyyiban. Konsep ini perlulah difahami kerana halal sahaja tidak mencukupi tetapi ia hendaklah terdiri daripada makanan yang baik dan tidak memudaratkan. Makanan yang halal dan baik, suci dan bersih akan meningkatkan ketakwaan dan nilai ibadah seseorang.
Jika darah dagingnya suci maka ia akan menghasilkan ibadah terbaik dan diterima Allah. Doa umat Islam juga banyak bergantung kepada jenis makanan yang dimakan oleh seseorang itu. Jika makanannya daripada benda-benda tidak halal atau tidak baik, maka sudah tentu Allah tidak akan memakbulkan doa mereka.
Dalam konteks kesucian makanan, orang Islam perlu prihatin dan tidak mengambil mudah mengenainya. Umpamanya binatang yang disembelih mengikut hukum syarak sudah semestinya dianggap halal dimakan.
Sebenarnya kita juga perlu peka tentang cara binatang itu diternak seperti makanan yang diberikan, kaedah pemeliharaan malah kaedah menyembelih pun hendaklah dilaksanakan dengan penuh penghormatan kepada binatang tersebut.
Penyembelihan cara Islam terbukti dapat mengurangkan kesakitan yang dihadapi binatang tersebut dan dalam proses tersebut darah akan dapat dikeluarkan dari dalam badan binatang tersebut. Kajian sains membuktikan kebenaran fakta ini.
Penyembelihan mengikut hukum syarak ini akan dapat mengelakkan pembekuan darah yang kemudiannya akan dimakan oleh manusia. Darah adalah najis bagi umat Islam, memakan darah itu juga akan memudaratkan dari segi kesihatan.
Oleh hal demikian, makanan halal mestilah diambil daripada produk yang halal termasuk ramuan di dalamnya tidak boleh dicampur dengan bahan-bahan haram atau syubhah.
Larangan memakan makanan haram adalah satu cara Islam mengajar umatnya mengamalkan kebersihan dan penyucian fizikal serta rohani. Penyucian diri ini boleh dilakukan melalui solat, doa dan ibadat-ibadat khusus yang lain.
Namun ibadat ini tidak akan kesampaian sekiranya makanan yang menjadi darah daging itu tidak suci. Natijahnya solat dan segala ibadat yang dilakukan tidak diterima oleh Allah, maka matlamat ibadat tersebut untuk membentuk sikap mulia dan meningkatkan ketakwaan bakal gagal.
Sumber: Utusan