“CERMIN mata Encik Abdullah ini memiliki penapis komponen biru dalam cahaya. Komponen biru itu sebenarnya tidak bagus untuk mata. Ia boleh menghalang pengeluaran hormon melatonin dalam otak. Hormon ini boleh membantu kita untuk rasa mengantuk.
"Komponen biru dalam cahaya biasanya keluar daripada peralatan elektronik seperti telefon pintar dan gajet moden. Mudah-mudahan cermin ini membantu berasa mengantuk apabila tiba masanya.”
Melopong mendengar penjelasan Pegawai Optometris, Rahazli Nakhaie yang membuat cermin mata saya. Baru diketahui bahawa adanya sejenis makhluk Allah yang bernama melatonin itu. Rupa-rupanya ia membantu untuk berasa mengantuk apabila tiba masanya.
Meskipun Rasulullah SAW berpesan agar memadamkan lampu bagi mengelakkan kecelakaan yang berkait dengan pelita atau kebakaran, namun ia tetap mempunyai hikmah saintifik lain yang sangat hebat, iaitu kesihatan tubuh badan bagi orang yang tidur tanpa lampu.
Bicara baginda bukan bicara biasa sebaliknya mengandungi kalam ajaib yang banyak sudut maknanya. Ia sejajar dengan sabda baginda:
“Aku dibangkitkan (sebagai Rasulullah dan mempunyai kelebihan) dengan kata-kata yang padat lengkap (perkataan ringkas yang memiliki banyak sudut makna).” - Sahih Bukhari.
Bukan setakat hadis di atas, ayat al-Quran banyak sekali menyebut betapa malam adalah waktu istirahat yang sesuai dengan fisiologi tubuh manusia.
Antaranya:
“Dan antara rahmat pemberian-Nya, Dia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya, dan juga supaya kamu bersyukur.” (al-Qasas [28:73]).
Juga firman-Nya:
“Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya).” (Yunus [10:67]).
Firman Allah yang paling hampir kepada isu pengeluaran hormon melatonin adalah:
“Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? Dan kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) - masa untuk mencari rezeki?.” (al-Naba’ [78:9-11]).
Melatonin akan bertindak balas dengan cahaya di luar mata. Pengeluarannya semakin aktif apabila malam semakin gelap dan larut. Maha Suci Allah! Ini antara hikmah mengapa Rasulullah SAW berpesan agar kita memadamkan lampu sebelum tidur. Sabda Rasulullah SAW:
“Tutuplah bekas makanan, tutuplah pintu rumah (dengan lafaz Bismillah), padamkan pelita kerana sesungguhnya makhluk perosak (seperti tikus) mungkin bermain dengan sumbu yang boleh membakar penghuni sesebuah rumah.” - Sahih Bukhari.
Rencana ini ditulis dengan bimbingan Pakar Ophthalmology, Hospital Selayang, Dr. Zabri Kamarudin.
Apabila kehidupan manusia semakin maju dengan kehadiran berbagai “cahaya buatan”, kitaran fisiologi tubuh menjadi keliru dan ia mengganggu pengeluaran melatonin.
Para saintis menyebut kitaran fisiologi tubuh yang bertindak balas dengan cahaya dipanggil “circadian rhythm.” Rentak ini sangat sesuai dengan kitaran siang dan malam yang Allah cipta serta sebut dalam beberapa ayat terdahulu.
Apabila kitaran ini diganggu oleh komponen biru dalam cahaya yang dipancarkan melalui peralatan elektronik, tidur menjadi tidak teratur dan menjadikan tubuh tidak sihat.
Maha Suci Allah! Hebat sekali ciptaan Allah! Ia disesuaikan keadaan bumi yang kita diami. Ketika bumi terang benderang, kita digerakkan untuk bekerja, manakala ketika bumi semakin gelap kita akan tidur setelah hormon melatonin “masuk pejabat.”
Manusia akan cepat pupus jika hormon melatonin ini gagal berfungsi dek “cahaya yang wujud secara berterusan.”
Bayangkan apa nasib kita semua jika firman Allah ini menjadi realiti:
“Katakanlah lagi: Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan siang kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan manakah yang lain daripada Allah, yang dapat membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya? Maka mengapa kamu tidak mahu melihat (dalil dan bukti keesaan dan kekuasaan Allah)?.” (al-Qasas [28:72]).
Oleh itu, demi memberikan tubuh kita hak asasinya untuk berehat, kita perlu hidup secara realistik dengan fitrah alam ciptaan Allah.
Kita juga perlu bersederhana dalam penggunaan teknologi moden. Cukup! Letakkan telefon dan gajet anda. Biarkan mata dan tubuh anda bergelap malam ini.
Sumber: Utusan