Israel Mahu Trump Kotakan Janji Iktiraf Ibu Negara Baitulmuqaddis


PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan, Donald Trump nampaknya perlu segera mengotakan janjinya untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel sekiranya beliau menjadi Presiden.

Pengerusi parti Bayit Yehudi (Rumah Yahudi) dan Menteri Pendidikan Israel, Naftali Bennet berkata bahawa oleh kerana Trump telahpun memenangi jawatan presiden tersebut, maka tiba masanya agar beliau melaksanakan apa yang telah beliau ikrarkan.

“Kemenangan Trump merupakan satu peluang untuk Israel untuk segera diiktiraf sebaga sebuah negara, selain menarik kembali tanggapan bahawa tanah yang diduduki adalah milik Palestin, supaya keselamatan Israel tidak akan diancam.

“Inilah sebahagian daripada ikrar Trump sekiranya beliau dilantik menjadi presiden AS yang ke-45, seperti yang tertulis di dalam teks ucapan kempen beliau. Perkara ini juga harus dijadikan polisi negara kami.

“Era negara kota Palestin sudah berakhir,” kata Bennet.

Israel menawan Baitulmuqaddis Timur yang diduduki bangsa Arab semasa perang Arab-Israel pada 1967 dan merampasnya secara haram pada 1980.

Rejim Zionis kemudian bertindak sendiri mengisytiharkan keseluruhan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel.

AS dan kebanyakan negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu lain tidak mengiktiraf tindakan Israel dan menganggap status muktamad Baitulmuqaddis sebagai isu utama yang perlu diselesaikan dalam rundingan damai Asia Barat.

Washington di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama mengusulkan pelan damai untuk mengiktiraf negara Palestin dan Israel sebagai jalan perdamaian. – AFP