Jabatan Pendidikan Kedah Aktifkan Op Payung

Azuyah Hassan memeluk pelajar untuk memberi semangat ketika membuat tinjauan peperiksaan Sjil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Alor Setar, Jalan Tanjung Bendahara, semalam.
ALOR SETAR – Jabatan Pendidikan Kedah telah mengaktifkan Op Payung bagi memastikan seramai 34,157 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negeri ini tidak terkandas jika berlaku banjir.

Pengarahnya, Datuk Azuyah Hassan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk guru, ibu bapa, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan semua calon dibawa ke pusat peperiksaan berhampiran sekiranya berlaku bencana itu.

“Kita melakukan persiapan awal untuk berdepan bencana banjir seperti mengadakan mesyuarat dengan Majlis Tindakan Daerah untuk membincangkan kaedah pemindahan calon ke pusat peperiksaan terdekat jika berlaku banjir. Mana-mana kawasan yang berisiko untuk dinaiki air, kita minta pihak sekolah membuat pusat peperiksaan di tingkat atas bangunan.

“Dalam pada itu, kita meminta ibu bapa untuk menghubungi pihak sekolah segera jika rumah mereka dinaiki air bagi membolehkan kita membantu membawa calon ke pusat peperiksaan,” katanya selepas meninjau persediaan pelajar menduduki SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Alor Setar di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, Azuyah memberitahu, seramai 29,702 daripada 34,157 calon SPM adalah calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan manakala calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seramai 140 orang.

“Calon sekolah menengah agama negeri 377 orang; calon sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian 297 orang; calon persendirian 1,573 dan calon sekolah menengah agama rakyat 1,196.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 47 calon berkeperluan khas iaitu masalah pembelajaran (3), buta (seorang), pekak (17), rabun (6) dan pelbagai kurang upaya (20). Dalam pada itu, seramai 11 calon hospital sehingga pagi ini kerana pelbagai masalah kesihatan," ujarnya.

Tambahnya, kesemua calon yang ditempatkan di 257 pusat dengan dibantu seramai 2,163 petugas yang dilantik bagi memastikan peperiksaan SPM yang bermula hari ini hingga 6 Disember nanti berjalan lancar.

Sumber: Utusan