Jalan Baling - Durian Burung Disifat "Jalan Maut"

Mohd Manas (empat, kanan) dan Mokhtar (dua, kanan) bersama penduduk menunjukkan jalan berkenaan.
BALING - Ketiadaan lampu jalan di jalan utama Baling-Durian Burung di Kampung Charok Puteh dalam kawasan Dun Bayu, membimbangkan penduduk yang menyifatkan ia sebagai 'jalan maut'.

Difahamkan, jalan menghubungkan Baling, Sik hingga ke sempadan Thailand di Durian Burung dalam Padang Terap itu merupakan laluan utama kenderaan termasuk lori balak.

Bilal 1 Masjid Charok Puteh, Mohd Nor Manas berkata, jalan utama di hadapan kampung itu berbahaya kepada pengguna pada waktu malam.

Katanya, ketiadaan lampu jalan di jalan berkenaan sejak 60 tahun lalu sudah meragut beberapa nyawa.

“Dari saya sekolah rendah sehingga sekarang, tiada lampu jalan dipasang di laluan hadapan kampung ini. Beberapa kemalangan sudah berlaku dan kebanyakan melibatkan penduduk kampung ini,” katanya, kelmarin.

Menurut Mohd Nor, tahun ini sahaja berlaku sebanyak enam kemalangan di kawasan berkenaan.

Katanya, dua daripada kemalangan itu menyebabkan empat nyawa melayang.

“Dalam tahun ini sahaja, empat orang meninggal dunia, semua penunggang motosikal. Kejadian terbaru berlaku pada Oktober, yang mana dua penunggang dan pembonceng motosikal maut dilanggar kereta di hadapan kampung ini,” katanya.

Tambah Mohd Nor, sikap sesetengah individu yang menunggang motosikal tanpa lampu, memburukkan lagi keadaan.

“Yang tunggang motosikal tanpa lampu juga bermasalah, mereka juga penyumbang kepada kemalangan,” katanya.

Bagi penduduk, Mokhtar Abdullah, ketiadaan lampu jalan turut menjadi punca jenayah berlaku.

Menurutnya, pekerja kilang wanita menjadi mangsa ragut sewaktu menunggu van untuk ke kilang sekitar jam 4 pagi.

“Ada anak penduduk dalam kampung ini kena ragut, ramai ibu bapa bimbang dengan keselamatan anak mereka,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Bashari Abd Razak pula berharap agar pihak bertanggungjawab dapat memasang segera lampu jalan dan papan tanda amaran di kawasan berkenaan.

“Pihak berwajib diminta agar memasang segera lampu jalan dan papan tanda amaran. Kawasan ini kerap berlaku kemalangan, kebanyakan warga emas yang menjadi mangsa,” katanya.

Sumber: Sinar Harian