Jangan Campur Urusan Islam - Abdul Hadi


KUALA LUMPUR - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan anggota Parlimen bukan Islam agar tidak mencampuri urusan yang melibatkan hal agama Islam.

"Perkara berkaitan Islam dan usul yang dibentangkan untuk orang Islam hanya di bawah bidang kuasa pemerintah.

"Hal ini tidak perlu dicampuri oleh golongan bukan Islam," kata beliau kepada media di lobi Parlimen pada Khamis.

Hadi yang merupakang anggota Parlimen Marang, sebelum itu membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) bagi meminda Akta 165 (Bidang Kuasa Jenayah) Mahkamah Syariah atau dikenali sebagai RUU355, di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan agar menangguhkan perbahasan berhubung usul itu di sidang Parlimen pada Mac tahun depan.

Beliau turut mendakwa, terdapat ahli politik bukan Islam cuba mengambil kesempatan dengan menentang usaha memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah

Jelasnya, situasi ini berbeza dengan pindaan yang dilakukan pada 1965 dan 1984 ke atas akta itu yang tidak mendapat bantahan daripada anggota Parlimen bukan Islam.

"Terdapat ahli politik bukan Islam yang tidak mewakili masyarakat mereka secara keseluruhannya, tetapi cuba mengganggu hal ehwal orang Islam.

"Saya mengingatkan mereka agar tidak berkelakuan seperti Ahok di Jakarta," tegas beliau.

Hadi merujuk kepada Gabenor Jakarta beragama Kristian, Basuki Tjahaj Purnama atau dikenali sebagai Ahok yang baru-baru ini menghina Islam sehingga mencetuskan bantahan besar-besaran ke atasnya.

Hadi dalam pada itu berkata, PAS merancang untuk mengadakan himpunan secara aman sebelum Mac bagi membukttikan usul RUU355 mendapat sokongan orang Islam dan bukan orang Islam.

"Sokongan orang awam amat penting buat RUU335. Tunggu dan lihat," katanya.

Sumber: mStar