Jangan Ceburi Karier Politik Jika Tiada Hasrat Bantu Rakyat


KUALA LUMPUR – Pelajar luar negara diingatkan supaya tidak menjadikan bidang politik sebagai karier jika keghairahan membantu rakyat dan membangunkan negara bukan perkara pokok yang ingin diperjuangkan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ini kerana terdapat lulusan luar negara yang hanya menceburi bidang politik kerana ingin mendapatkan habuan tertentu seperti projek.

“Politik bukan karier… mesti ada semangat untuk bantu rakyat dan negara. Apabila dengar gaji sudah naik, semua orang nak jadi wakil rakyat.

“Saya nasihatkan semua penuntut khususnya di luar negara belajar dulu betul-betul dan kalau ada semangat benar-benar nak bantu rakyat, baru balik jadi wakil rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mesra Kelab UMNO Luar Negara sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 di sini semalam.

Tengku Adnan turut mengingatkan pelajar luar negara supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai maklumat di media sosial yang tidak diketahui kebenarannya.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata ini kerana pihak pembangkang sering menjadikan media sosial sebagai platform menyebarkan pelbagai maklumat tidak tepat mengenai kerajaan bagi mendapat sokongan golongan muda.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Presiden kelab berkenaan, Afiq Adham Muhamad Fadhil berkata penyertaan kelab tersebut dalam Pehimpunan Agung UMNO ke-70 tahun itu akan dimanfaat sepenuhnya untuk menyampaikan hasrat pelajar luar negara.

“Antara isu yang mungkin disentuh dalam perbahasan kami adalah berkaitan sensitiviti agama dan politik propaganda yang mengaitkan agama selain sokongan untuk kami mendapat tempat dalam dunia pekerjaan supaya dapat berbakti kembali kepada negara kelak,” katanya. – BERNAMA