Jangan Ganggu Hak Orang Islam - Setiausaha Agung PAS

 
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan meminta agar masyarakat bukan Islam hormati perkara yang ada kepentingan dengan Islam.

Menurutnya, selama ini orang Islam menghormati perkara yang berkaitan dengan orang bukan Islam.

"Dalam isu Rang Undang-Undang 355, rakyat bukan Islam perlu faham bahawa ia tidak berkaitan dengan mereka.

"Oleh itu, Kita kenalah adil, janganlah ganggu hak orang Islam," katanya sewaktu sidang media di Ibu Pejabat Pas, semalam.

Sebelum ini, beberapa parti telah menolak pindaan RUU 355 yang dibawakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tambahnya lagi, orang bukan Islam sendiri sudah mempunyai akta mereka sendiri.

"Saya khuatir jika orang bukan Islam berterusan mengganggu kepentingan orang Islam maka nanti hak mereka pula akan diganggu.

"Jika mereka boleh berkompromi dengan orang Islam maka kita juga boleh berkompromi dengan isu-isu bukan Islam," katanya.

Sumber: Sinar Harian