Kedah Juara Imbas Detik Manis Pada 1990 - Tan Cheng Hoe


SHAH ALAM – Kejayaan menjulang Piala Malaysia buat kali kelima merupakan detik paling indah buat jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe.

Beliau menyifatkan kejayaan menewaskan Selangor ibarat mengimbau kembali kenangannya sebagai pemain ketika membantu Kedah mengalahkan Singapura 3-1 bagi menjulang Piala Malaysia.

“Ia merupakan pencapaian menakjubkan kerana sebagai pemain Kedah pada 1990, saya memenangi piala berprestij buat julung kali Kedah dan kemenangan malam ini sangat signifikan untuk saya selaku jurulatih pula,”katanya pada sidang media selepas aksi final di Stadium Shah Alam malam semalam.

Kedah muncul juara buat kali kelima selepas mengalahkan Selangor 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi 120 minit termasuk 30 minit masa tambahan.

Berkongsi pandangan sama adalah kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar yang mendedikasikan trofi Piala Malaysia kepada peminat skuad Lang Merah yang tidak jemu memberikan sokongan padu pada kempen musim ini.

“Saya anggap kemenangan ini adalah rezeki untuk anak saya dan misi saya masih belum selesai kerana saya perlu membantu skuad kebangsaan dalam saingan Piala AFF Suzuki, bulan depan,” kata anak jati Sungai Petani itu.

Sementara itu, pengendali sementara Selangor, K. Gunalan memuji persembahan cemerlang anak buahnya walaupun tewas menerusi penentuan sepakan penalti.

“Selepas (penjaga gol Selangor) Mohd Khairulazhan Mohd Khalid menyelamatkan sepakan penalti pertama Kedah, saya mempunyai sedikit keyakinan kami akan menang tapi apa boleh buat pada akhirnya, kami kalah.

“Secara keseluruhannya saya berpuashati dengan pemain yang mempamerkan kesungguhan sejak bermulanya saingan Piala Malaysia musim ini,”jelas bekas pemain kebangsaan era 90-an itu.

Kapten Selangor, Andik Vermansah pula kecewa kerana gagal membantu skuad Gergasi Merah menjayakan ‘Misi 34’, namun memuji persembahan yang dipamerkan rakan sepasukannya. – BERNAMA