Keputusan Boikot Piala AFF Diputus Pada Jumaat Ini – KJ


KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada Harimau Malaysia akan menarik diri daripada saingan Piala AFF Suzuki di Yangon, Myanmar hanya akan ditentukan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, Jumaat ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata beliau sudah mengemukakan perkara itu sejak minggu lalu.

“Saya sudah bangkitkan (penarikan diri) pada minggu lalu tetapi berdasarkan kepada perkembangan terkini ada lebih banyak gesaan untuk kita menarik diri.

“Saya berpandu kepada Jemaah Menteri Jumaat ini dan kita perlu dapat pandangan pihak lain seperti Kementerian Luar,” katanya di sini, semalam.

Khairy berkata, penarikan diri skuad Harimau Malaysia perlu dipertimbangkan kerana ini bukan hanya membabitkan politik semata-mata malah lebih kepada kemanusiaan.

Bagaimanapun katanya, sebarang keputusan tidak boleh dilakukan beliau sendiri kerana ia membabitkan sesuatu yang lebih besar.

Sumber: Berita Harian