Kerajaan Negeri Bimbang Trend Rakyat Kedah Tolak Vaksin Meningkat


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah meluahkan rasa bimbang terhadap trend penolakan rakyat terhadap penggunaan vaksin di negeri itu meningkat sejak tiga tahun lalu.

Exco Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, penolakan terhadap penggunaan vaksin itu adalah ekoran keraguan mereka kepada status halal vaksin tersebut.

"Walaupun dalam jumlah yang kecil, namun ia sangat membimbangkan," katanya, memetik ucapan penggulungan beliau dalam perbahasan Bajet Kedah 2017 di sidang Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 75.8 peratus daripadanya disebabkan keraguan ibu bapa terhadap status halal vaksin, kata Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan Datuk Dr Leong Yong Kong.

Beliau berkata statistik Unit Pembangunan Kesihatan Keluarga negeri menunjukkan pada tahun 2013, Kedah mencatatkan 0.6 peratus atau 167 kes penolakan vaksin, diikuti 0.8 peratus atau 239 kes pada 2014 dan 1.1 peratus atau 318 kes pada 2015.

Katanya, sebanyak 18.6 peratus daripada mereka yang menolak vaksin ini pula memilih untuk menggunakan vaksin homeopati, sedangkan ia sebenarnya tidak diiktiraf oleh mana-mana badan homeopati antarabangsa.

Bagi tahun 2015, Dr Leong menjelaskan bahawa daerah Baling merekodkan kes tertinggi penolakan vaksin dengan 72 kes, diikuti Kulim sebanyak 42 kes dan Padang Terap juga melibatkan jumlah kes yang sama.

Exco Kerajaan Negeri itu juga menjelaskan bahawa Jabatan Kesihatan negeri telah membuat program penerangan fatwa bersama pejabat mufti dan Jabatan Agama Islam Kedah bagi memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa penggunaan vaksin adalah harus dan bukannya haram.

"Salinan fatwa juga dibekalkan kepada semua klinik kesihatan dan keputusan fatwa kebangsaan mengenai vaksin juga dipamerkan di setiap klinik dan hospital selain membuat saringan status imunisasi kanak-kanak di tadika," katanya Adun Gurun itu lagi.

Sementara itu, menjawab persoalan yang dibangkitan Dr R Krishnamoorthy (PKR-Bukit Selambau) mengenai status bekalan vaksin, Dr Leong tidak menafikan berlaku situasi dimana pembekal vaksin tidak dapat membekalkan vaksin ketika penyakit anjing gila melanda tahun lalu, namun ia disebabkan oleh keadaan global.

"Pembekal tidak dapat bekalkan vaksin pada masa itu bukan saja di Malaysia tapi juga negara-negara lain. Bagaimanapun Jabatan Kesihatan Kedah telah mendapatkan stok vaksin dari negeri-negeri lain yang tidak dijangkit penyakit itu," ujar beliau.

Selain itu, trend kencing manis di Kedah katanya turut mencatatkan peningkatan apabila Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2006 mendapati peratus penduduk berumur 18 tahun ke atas yang menghidap diabetes adalah sebanyak 13.6 peratus, meningkat kepada 22.5 peratus pada 2011 dan terus meingkat kepada 25.4 peratus pada 2015.

"Situasi yang membimbangkan ialah apabila didapati peratus penduduk yang tidak mengetahui status diabetes meningkat dari 4.3 peratus (2005) kepada 9.1 peratus (2011) dan 16.1 peratus pada 2015," jelasnya.

Tegas beliau, Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai langkah antaranya mewujudkan lokaliti Komuniti Sihat Perkasa Negeri (KOSPEN), kali ini dengan kolaborasi Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Perpaduan Negara. - Kedahnews.com