Kg Lubuk Batu Dapat Dewan Mangsa Banjir Bernilai RM795,348

Mohd Johari (kanan) melawat dewan untuk penempatan mangsa banjir di Lubuk Batu semasa majlis penyerahan kelmarin.
JITRA - Keluhan penduduk di sekitar Kampung Lubuk Batu, di sini setiap kali berlakunya banjir akhirnya mendapat simpati kerajaan apabila sebuah dewan penempatan dibina di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), di situ kelmarin.

Majlis penyerahan dewan penempatan mangsa banjir itu disaksikan oleh Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharom.

Mohd Johari berkata, selama ini setiap kali musim banjir, mangsa akan ditempatkan di beberapa kuarters kerajaan dan gudang berdekatan yang terletak di tanah tinggi.

Menurutnya, ini disebabkan sekolah yang berdekatan kawasan itu juga turut ditenggelami air hingga sesi persekolahan di kawasan itu juga terpaksa ditangguhkan.

“Kos pembinaan dewan itu sebanyak RM795,348 mampu menampung mangsa banjir seramai 500 orang dalam satu masa," katanya.

Katanya, dia berharap penduduk di kawasan itu tidak lagi bimbang apabila menjelangnya musim tengkujuh nanti kerana sudah ada tempat untuk mereka berteduh.

Tambahnya, dewan itu di bawah penyeliaan PPK di situ dan merupakan projek dua dalam satu yang boleh juga digunakan untuk majlis tertentu supaya hasil pendapatannya dapat menampung penyelenggaraan dewan itu.

"Projek tebatan banjir juga sedang giat dilakukan di daerah itu dan berharap selepas projek itu masalah banjir dapat diatasi di sekitar kawasan itu," katanya.

Sementara itu katanya, projek tebatan banjir di sekitar Kubang Pasu terletak di fasa kedua dan dijangka akan siap pada tahun hadapan.

“Kerja pelebaran dan mendalamkan sungai giat dilakukan. Difahamkan arus air kini mengalir dengan baik dan kawasan rendah sudah tidak lagi ditenggelami air,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pertahanan.

Sumber: Sinar Harian