Kisah Abam Bomba Dengan Ular Viral Hingga Ke Luar Negara


Kisah "kemesraan" seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dengan seekor ular tedung yang pernah menjadi viral dalam kalangan penduduk tempatan, kini menjadi perhatian beberapa portal di luar negara.

Bagaimanapun kisah popular tersebut telah disalahtafsir portal asing itu yang mendakwa ular tedung berkenaan merupakan jelmaan kekasih ahli bomba tersebut.

Berdasarkan laporan portal Mirror.uk dan OddityCentral, lelaki yang tidak dinamakan itu menjadikan seekor ular tedung sebagai teman hidupnya selepas mendakwa reptilia tersebut merupakan jelmaan kekasihnya yang telah meninggal dunia.

Kedua-dua portal itu memetik kisah yang tersebar dalam dikongsi dalam Facebook bernama Worranan Sarasalin yang sering berkongsikan berita tempatan di Thailand.


Laporan itu mendakwa lelaki itu menjalinkan hubungan istimewa dengan ular sepanjang 3.04 meter tersebut selepas menyedari persamaan reptilia berkenaan dengan bekas kekasihnya dan "mereka" sering menghabiskan masa bersama tidak kira sama ada menonton televisyen, mendaki bukit, berlatih di gim atau bermain karom.

Namun selepas diteliti, gambar yang dikongsi oleh Woranna merupakan anggota JBPM yang dipercayai pakar dalam menangani ancaman ular berbisa.

Anggota bomba dikenali sebagai Abu Zarin, sangat popular dengan gambar viral yang menampilkan aksinya seolah-olah sedang mengajar dua ekor ular tedung di dalam sebuah kelas.

Ketika dihubungi, beliau yang kini berkhidmat di Temerloh, Pahang mengesahkan cerita yang dipaparkan oleh portal asing itu tidak benar.

Sumber: mStar