"Kita Tak Pernah Mohon Pun, Itu Orang Yang Ajak" - Pemuda PAS Kedah


ALOR SETAR - PAS tidak pernah memohon untuk menyertai Pakatan Harapan, namun gabungan DAP, Parti Amanah Negara (PAN), PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menjemput PAS untuk menyertai mereka.

Justeru itu, desakan untuk PAS tidak menyertai Pakatan Harapan sepatutnya tidak timbul kerana PAS sejak dari dulu lagi konsisten sebagai sebuah parti pembangkang yang menentang Barisan Nasional (BN) dan UMNO, kata Ketua Pemuda PAS Kedah, Mohd Azam Abdul Samat.

"Kita pun tak pernah mohon pun.

"Yang itu orang yang ajak. Bila orang ajak tu, mungkin kita buat kajian sama ada perlu (terima kerjasama dengan Pakatan Harapan) ataupun tidak.

"Satu lagi pandangan mengatakan kalau dok dalam satu blok saja yang lawan dengan UMNO. Sedangkan PAS ini kita dah lama dan memang daripada dulu lagi kita memang bertanding lawan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).. konsisten,

"Jadi, kenyataan-kenyataan yang dikemukakan itu mungkin semata-mata untuk nak supaya membenarkan pihak dia saja, tanpa melihat kepada apa yang telah dilakukan," kata beliau mengulas mengenai gesaan menolak PAS untuk menyertai Pakatan Harapan.

Beliau diminta Kedahnews.com untuk mengulas mengenai satu demonstrasi aman oleh kira-kira 20 ahli NGO Pakatan Harapan mengenai ‘Tolak Pas dalam Pakatan Harapan’ yang diadakan di pusat berlangsungnya Konvensyen Harapan di IDCC, Shah Alam, baru-baru ini.

Jelas beliau, PAS sejak dari dulu konsisten memperjuangkan dasar Islam di dalam Pakatan Rakyat yang telah berkubur gara-gara DAP yang difahamkan enggan menghormati perjuangan PAS tersebut.

"PAS, kita konsisten. Kita berjuang ini hadaf utama kita yang pertamanya untuk kita berikan ia sebagai amal soleh kita menegakkan agama Allah SWT. Apa yang Allah perintah, hat (yang) tu yang kita nak buat.

"Kita bukan setakat tentang rasuah, tentang penyelewengan, tapi yang penting kita nak meletak Islam itu sebagai perlembagaan kita, kita pun sebut Islam agama rasmi, agama-agama lain bebas untuk melaksanakan, itulah yang kita nak laksana," katanya.

Kata beliau, PAS yang kini menggunakan pendekatan "politik matang dan sejahtera", dan akan terus konsisten sebagai pembangkang yang membawa agenda serta pandangan Islam.

"Jadi ia merupakan suatu yang konsisten kita bawa daripada dulu sampai hari ini dan kita yakin walaupun di mana saja kita berada, kita akan tetap mempertahankan prinsip Islam, akan memperjuangkan Islam, apa yang tidak betul yang dilakukan pihak kerajaan, kita akan tegur dan berikan pandangan Islam," katanya. - Kedahnews.com