ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menangkis dakwaan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mendakwa kononnya pihaknya bersikap sambil lewa terhadap kontrak beberapa pemain bola sepak Kedah yang telah tamat kontrak.
Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar menegaskan bahawa kontrak-kontrak baru telah pun ditawarkan kepada para pemain Kedah sejurus selepas perlawanan akhir TM Piala Malaysia di Shah Alam sebelum ini.
"Surat penawaran antara pihak KFA kepada pemain telah pun dibuat seawal daripada selepas saja tamat perlawanan akhir Piala Malaysia tempohari," kata beliau ketika ditemubual Kedahnews.com di lobi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, di sini, hari ini.
Malah tegas Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah itu, pihak KFA awal-awal lagi telah mengambil inisiatif mengadakan rundingan awal dengan para pemain yang telah tamat kontrak itu bagi menandatangani kontrak baru.
Jelas beliau, semua pemain dan jurulatih pasukan Lang Merah itu sedang bercuti dan keenam-enam pemain itu dijangka akan menandatangani kontrak baru dengan KFA sekembalinya mereka dari cuti tersebut.
"Sekarang ini pemain-pemain sedang bercuti, dan mungkin selepas ini kita akan dapat keputusan daripada pemain-pemain untuk memutuskan perihal berkenaan dengan kontrak baru tersebut," ujar beliau.
Jelas beliau, antara enam pemain yang telah ditawarkan kontrak baru tersebut adalah pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia, Rizal Ghazali dan Syazwan Zainon.
Walau bagaimanapun, Aminuddin menjelaskan bahawa hasil perbincangan awal dengan para pemain tersebut menunjukkan keputusan positif untuk mereka kekal terus menyarung jersi Hijau Kuning.
"Mereka masih lagi berminat untuk bermain dengan pasukan Kedah, dan Kedah juga berminat untuk mengambil mereka semula," jelasnya.
Katanya lagi, sudah tentulah ada di kalangan pemain yang meminta kontrak yang lebih lumayan setelah berjaya menjuarai Piala Malaysia 2016, namun jelas Aminuddin, ia adalah bergantung kepada keupayaan persatuan dan KFA akan cuba sedaya upaya mengekalkan mereka.
Namun begitu, KFA tidak dapat menghalang mana-mana pemain untuk meninggalkan Lang Merah jika ditawarkan tawaran yang lebih lumayan dan mereka diberi kebebasan penuh untuk terus berbakti bersama skuad Hijau Kuning atau sebaliknya.
Jelas beliau, KFA telah memberikan segala sokongan yang terbaik kepada seluruh pasukan Lang Merah sepanjang tahun 2016 dan muafakat antara pihak pengurusan dan skuad kebanggaan negeri itu telah membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Jelapang Padi ini.
"Sepanjang tahun 2016, kita telah memastikan kebajikan para pemain ini dengan cukup baik dan akhirnya kita dapat bekerjasama di antara pihak pengurusan dan pemain-pemain hingga membawa kita menjuarai Piala Malaysia," katanya.
Mukhriz semalam ketika membahaskan Bajet Kedah 2017, mendakwa kononnya KFA tidak mengambil berat tentang para pemain pasukan Lang Merah yang mencipta sejarah menjuarai Piala Malaysia buat kali ke-5, khususnya mengenai tawaran kontrak baru.
Beberapa pihak sebelum ini memandang sinis terhadap Mukhriz atas tindakan beliau membawa agenda politik masuk ke dalam Stadium Darul Aman ketika berlaku krisis pertukaran Menteri Besar Kedah pada awal tahun ini menyaksikan beliau hilang jawatan tertinggi Kerajaan Negeri. -Kedahnews.com